Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tahun Baharu Cina: Pokok Limau Mini Raih Permintaan Tinggi

15/02/2026 12:28 PM

Oleh Nur Fadhliana Shaari

JOHOR BAHRU, 15 Feb (Bernama) -- Beberapa hari menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, sebuah nurseri bunga dan rumput di bandar raya ini yang dilimpahi hiasan berwana merah, kuning dan jingga, kelihatan meriah dengan kehadiran pelanggan yang sibuk membuat persiapan akhir.

Kunjungan Bernama di Katsura Garden and Bonsai Centre di Jalan Sutera Danga, Taman Sutera Utama mendapati laluan masuk ke premis itu dihiasi pelbagai pokok limau mini yang berbuah lebat, diselang-seli bunga kekwa kuning keemasan serta pokok buluh, seolah-olah ‘menjemput’ pelanggan singgah.

Ad Banner
Ad Banner

Pengusaha nurseri Chong Ren Kiat, 31, berkata permintaan terhadap pokok limau dan tanaman hiasan sentiasa tinggi, malah tahun ini tempahan diterima sejak dua bulan sebelum perayaan, dan beliau mula mendapatkan bekalan dari Ipoh, Perak bagi memastikan stok mencukupi.

“Setiap tahun memang ada pelanggan datang awal. Untuk pokok limau, kebanyakannya akan memilih yang sudah berwarna jingga. Namun, bagi yang membuat persiapan lebih awal, mereka akan memilih yang  masih hijau supaya buahnya masak sendiri di rumah apabila hampir hari perayaan.

“Buah limau adalah simbolik. Lagi banyak buah pada pokok, lagi orang percaya ia membawa ‘ong’ (tuah) kepada pemilik rumah,” katanya kepada Bernama.

Selain pokok limau, Chong berkata nurseri itu turut menjual pelbagai jenis tanaman hiasan seperti bunga kekwa, pokok buluh, pokok bonsai dan beberapa jenis tanaman lain yang menjadi pilihan pelanggan untuk menghias rumah serta premis perniagaan sempena perayaan.

Mengenai harga, beliau yang menguruskan perniagaan warisan keluarga itu berkata tanaman hiasan di nurserinya ditawarkan pada harga berpatutan, bermula sekitar puluhan ringgit bagi tanaman bersaiz kecil, manakala pokok limau bersaiz besar termasuk yang diimport boleh mencecah harga ribuan ringgit.

Beliau berkata jualan sepanjang tempoh menjelang perayaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding hari biasa, sekali gus memberi limpahan rezeki bermusim kepada pengusaha nurseri tempatan.

“Kehadiran pelanggan semakin bertambah dari hari ke hari, terutama apabila menghampiri minggu terakhir sebelum perayaan,” katanya.

Walaupun sibuk berniaga, beliau berkata keluarganya tidak ketinggalan untuk membuat persiapan sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan