SHAH ALAM, 16 Feb (Bernama) -- Dua wanita mengalami kecederaan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok di Persiaran Tun Arshad Ayub di Seksyen 7, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.11 tengah hari dan dua mangsa dilaporkan terperangkap.
“Komander operasi melaporkan sebatang pokok telah tumbang dan menghempap sebuah MPV berwarna hitam dan terdapat dua orang mangsa tersepit.
“Kesemua mangsa telah selamat dikeluarkan. Wanita berusia 39 tahun cedera di bahagian muka dan kepala manakala mangsa berusia 42 tahun cedera di bahagian pinggang,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata kesemua mangsa kini dirujuk ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata seramai 12 pegawai dan anggota berserta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi berkenaan.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 28 tahun mengalami detik cemas apabila kenderaan dipandunya dihempap pokok ara tumbang di kawasan pasar malam di Jalan Terusan Utama, Sekinchan sekitar 10 malam tadi.
Bagaimanapun, Ahmad Mukhlis berkata lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin memaklumkan kedua-dua wanita yang dihempap pokok tumbang tersebut merupakan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia (FKK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Beliau memaklumkan mangsa merupakan Dr Nur Shahidah Ab Aziz dan Dr Shareena Fairuz Abdul Manaf.
“Makluman awal dari FKK pada 2.20 petang tadi memaklumkan kedua-dua pensyarah berada dalam keadaan sedar walaupun mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan serta pemerhatian doktor di Zon Kritikal, Hospital Shah Alam.
“Sehubungan itu, mohon sama-sama kita mendoakan keselamatan, kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan buat kedua-dua pensyarah tersebut,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial