Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

'Dewa Kekayaan' Sambut Tetamu Di Tokong Swee Nyet Keung

17/02/2026 04:20 PM

GUA MUSANG, 17 Feb (Bernama) -- Kemeriahan suasana perayaan Tahun Baharu Cina di Tokong Sweet Nyet Keung, Kampung Pulai di sini diserikan dengan kehadiran Dewa Kekayaan atau ‘Chai Shen Ye’ yang menyambut kedatangan tetamu ke rumah ibadat berkenaan. 

Petugas tokong Cheaw Yee How, 42, berkata dia menggalas tanggungjawab memakai kostum dan menjadi Dewa Kekayaan sejak 12 tahun lepas, malah tugas ini dilakukan secara sukarela setiap kali menjelang hari pertama Tahun Baharu Cina.

"Pihak tokong juga menyediakan pakaian lengkap dengan aksesori dewa untuk memudahkan tugas saya menyantuni tetamu yang hadir ke sini. Saya seronok dan sentiasa teruja untuk berjumpa orang ramai yang jelas gembira apabila melihat Chai Shen Ye. 

Ad Banner
Ad Banner

"Saya akan berada di tokong bermula 8.30 sehingga 11.30 pagi setiap hari pertama tahun baharu. Selepas itu saya akan pulang ke rumah untuk meluangkan masa bersama keluarga pula," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pulai, di sini hari ini. 

Beliau berkata dia akan menyapa, mengagihkan angpau dan mendoakan pengunjung sebaik sahaja tiba di rumah ibadat tersebut sebelum mereka memulakan ritual keagamaan yang lain. 

"Setiap tahun kita akan mendapat tajaan dan sumbangan daripada orang ramai untuk tujuan keramaian. Sumbangan ini diisi di dalam angpau dan kita memperuntukkan lebih 1,000 keping sampul duit raya untuk diagihkan kepada tetamu yang hadir," katanya. 

Timbalan Pengerusi Unit Keceriaan Tokong Swee Nyet Keung, Chan Kim Lan berkata kehadiran dewa yang berkostum lengkap menjadi antara daya penarik di tokong tertua di negeri ini yang berusia 600 tahun itu.

"Perwatakan Chai Shen Ye yang peramah dan pandai mengambil hati amat disenangi pengunjung yang datang ke sini," katanya. 

Sementara itu, pengunjung dari Kuala Lumpur, Pauline Chew Phik Sim, 51, berkata dia tidak melepaskan peluang membawa haiwan peliharaannya ke tokong dan berjumpa Chai Shen Ye. 

"Setiap tahun saya akan menziarahi rumah mertua di sini, jadi saya akan turut membawa anjing peliharaan jenis 'toy poodle' mengunjungi tokong ini bersama-sama," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan