Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

85 Peratus Kes Tibi Libatkan Rakyat Tempatan - Dzulkefly

18/02/2026 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Sebanyak 85 peratus daripada kes tuberkulosis (tibi) yang dilaporkan di negara ini melibatkan rakyat tempatan manakala hanya 15 peratus membabitkan warga asing, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Justeru, beliau berkata persepsi yang mengaitkan penularan tibi dengan kemasukan warga asing adalah tidak tepat berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) yang menunjukkan jumlah kes dalam kalangan warganegara lebih tinggi ketika ini.

“Ini bermakna risiko penularan dalam komuniti kita adalah nyata dan tidak boleh dipandang enteng,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata tibi bukanlah fenomena baharu dalam landskap kesihatan awam, sebaliknya telah lama wujud dan kekal sebagai penyakit endemik yang memerlukan perhatian serius semua pihak.

Tibi juga bukan sekadar isu klinikal tetapi merupakan penyakit yang berkait rapat dengan faktor sosioekonomi seperti kesesakan penempatan dan kekurangan zat makanan.

“Kuman Mycobacterium Tuberculosis ini sangat degil, namun berita baiknya, ia boleh dicegah, boleh dirawat, dan boleh sembuh sepenuhnya jika dikesan awal serta pesakit patuh kepada rejimen rawatan antibiotik selama sekurang-kurangnya enam bulan,” katanya.

Sehubungan itu, Dzulkefly menyeru masyarakat supaya cakna terhadap gejala seperti batuk melebihi dua minggu, demam atau berpeluh waktu malam dan susut berat badan, dan segera mendapatkan pemeriksaan serta rawatan di klinik.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak memulaukan pesakit, sambil menegaskan bahawa sokongan emosi daripada keluarga dan komuniti adalah kunci utama untuk pesakit melengkapkan rawatan.

Sebagai langkah pencegahan, ibu bapa turut diseru memastikan anak-anak menerima imunisasi Bacillus Calmette–Guerin (BCG), di samping mengamalkan gaya hidup sihat dan memastikan pengudaraan rumah yang baik.

“KKM komited memperkasakan strategi pengesanan aktif dan bekerjasama dengan pelbagai agensi melalui pendekatan whole-of-government bagi menamatkan endemik tibi di Malaysia. Sama-sama kita lindungi keluarga dan komuniti kita,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan