PUTRAJAYA, 19 Feb (Bernama) -- Ramadan adalah madrasah terbaik untuk refleksi dan menilai diri selain memperkukuh fokus, meningkatkan mutu kerja dan memperbaiki segala kelemahan yang ada, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Ramadan merupakan ‘sekolah’ yang menghimpunkan seluruh lapisan masyarakat, sama ada mufti, menteri mahupun rakyat biasa, untuk kembali bermuhasabah dengan penuh tawaduk dan rendah diri.
“Muhasabah dan ambil kesempatan ini untuk perbaiki diri kita masing-masing. Ini bukan sekadar masa untuk mengajar atau berkuliah kepada orang lain untuk perbaiki diri, tetapi ruang untuk kita menoleh ke dalam diri, muhasabah, perbaiki kelemahan kita serta meningkatkan keupayaan dalam pelbagai bidang dan dimensi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ihya’ Ramadan, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan timbalannya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Anwar berkata tuntutan berpuasa bukan sekadar tradisi, sebaliknya ujian keikhlasan, disiplin dan kekuatan diri yang telah dilalui umat terdahulu sebagaimana dirakamkan dalam al-Quran.
Anwar berkata para ulama mengaitkan Ramadan sebagai madrasah ruhiyah yang menekankan pembinaan kekuatan dan disiplin diri di samping menyemai keprihatinan terhadap golongan miskin serta mereka yang memerlukan.
Keutamaan sepanjang Ramadan adalah untuk merebut peluang meningkatkan keupayaan diri dalam pelbagai bidang kehidupan, kata beliau.
“Sebab itu ulama berpesan tarbiyah Ramadan ini mesti membawa peningkatan...bagaimana kita tahu ada peningkatan? Kita akan menilainya pada Syawal nanti.
“Apakah sepanjang Ramadan ini prestasi, iman, akhlak, sahsiah, mutu kerja, komitmen kita serta kebersihan diri dan jiwa kita itu lebih baik daripada bulan sebelumnya,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata setiap individu perlu memasang tekad untuk memperbaiki diri secara menyeluruh, termasuk memperkukuh hubungan dengan al-Quran, meningkatkan kualiti ibadah dan solat, serta memantapkan disiplin kerja.
Dalam pada itu, Anwar berkata meskipun Ramadan disemarakkan dengan amalan seperti ke masjid, bersedekah dan menunaikan umrah, kelemahan seperti ketirisan dan rasuah tidak boleh terus berulang.
“Kita dah ambil ujian Ramadan bertahun-tahun, (tetapi) beberapa kebejatan dan kelemahan masih lagi kita ulang. Ini peringatan kepada kita, kepada saya dan kepada semua,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial