Ad Banner
 AM > BERITA

Kenaikan Cukai Tanah 2026 Untuk Imbangi Jurang Kadar Sejak 30 Tahun Di Pulau Pinang

20/02/2026 04:55 PM

GEORGE TOWN, 20 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan kenaikan cukai tanah 2026 dan pewartaan 25 bandar baharu adalah langkah yang perlu bagi membetulkan ketidaksamaan kadar cukai yang tidak disemak sejak 30 tahun lalu.

​Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata semakan ini dilakukan mengikut Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) memandangkan kali terakhir ia dilaksanakan ialah pada 1994, manakala pewartaan kawasan bandar pula tidak dikemas kini sejak 1966.

​"Ketiadaan semakan dalam tempoh lama menyebabkan jurang cukai antara kawasan desa dan bandar menjadi tidak saksama. Kawasan seperti Seberang Jaya, Bertam dan Bandar Cassia kini setaraf dengan bandar dari segi pembangunan, maka klasifikasi semula adalah wajar," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab dakwaan Persatuan Pembayar Cukai Pulau Pinang (Ratepayers Penang) mengenai struktur cukai dan menjelaskan bahawa Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kuasa di bawah Seksyen 101(3)(b) Akta 828 untuk menetapkan kadar berdasarkan kelas dan perihal kegunaan tanah.

Chow berkata terdapat pemilik tanah First Grade yang sebelum ini hanya membayar RM48 setahun atas kadar pertanian, sedangkan tapak tersebut telah ditukar kepada kegunaan perniagaan.

"Sebagai contoh, satu hak milik tanah First Grade di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) berkeluasan 16035.64 meter persegi yang sebelum ini dikenakan cukai tanah berjumlah RM48.00 setahun berdasarkan kadar pertanian (kelapa), namun pada masa ini, didapati kegunaan semasa di atas tapak adalah perniagaan, dan kadar cukai yang dikenakan adalah RM3.25 per meter persegi. 

"Ini menjadikan kadar cukai terkini yang perlu dibayar adalah sebanyak RM44,900.00 berdasarkan kepada kegunaan semasa, keluasan tanah keseluruhan dan kadar cukai perniagaan iaitu RM3.25 per meter persegi," katanya. 

Ini, katanya, membuktikan bahawa pemilik terbabit telah menikmati kadar terlalu rendah selama 30 tahun berbanding pembayar cukai lain.

Bagaimanapun, beliau berkata bagi mengurangkan impak kenaikan, kerajaan negeri melaksanakan langkah seperti memberikan rebat 50 peratus secara automatik kepada pemilik tanah yang terkesan. 

​-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan