SIBU, 20 Feb (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki yang dilaporkan hilang dalam insiden berasingan di Betong dan Tanjung Manis sejak 18 Feb lepas, ditamatkan selepas kedua-dua mangsa ditemukan lemas hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan dalam kejadian di Betong, mayat Denickles Lesen, 20, ditemukan pada 10.50 pagi kira-kira 15 kilometer dari pos kawalan operasi selepas bot laju yang diujinya karam di Sungai Skrang, Tisak Ulu, Rabu lepas.
“Identiti mangsa disahkan oleh ahli keluarga di lokasi sebelum mayat diserahkan kepada polis pada 11 pagi untuk tindakan lanjut,” menurut JBPM dalam satu kenyataan.
Berdasarkan maklumat saksi, mangsa sedang menguji bot laju pada 3.51 petang sebelum bot berkenaan dipercayai karam dan mangsa dilihat terkapai-kapai lalu hilang daripada pandangan.
Sementara itu, dalam kejadian di Tanjung Manis, JBPM Sarawak memaklumkan mayat seorang nelayan, Sabarudin Awang Kamarudin, 48, ditemukan pada 9.48 pagi kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan tenggelam ketika memukat udang di pantai belawai.
“Mayat mangsa diserahkan pada pihak polis sebelum operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 10.30 pagi,” menurutnya.
Berdasarkan maklumat saksi, mangsa sedang memukat udang di kawasan tepi pantai Kampung Tepi Laut, Belawai sebelum tiba-tiba tenggelam dan dilihat terkapai-kapai meminta pertolongan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial