Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Tekad Perkukuh Pembangunan Sosial Secara Inklusif - Aaron

20/02/2026 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Kerajaan MADANI menzahirkan tekad untuk terus memperkukuh pembangunan sosial secara inklusif serta peluang yang saksama untuk semua rakyat Malaysia sempena Hari Keadilan Sosial Sedunia.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata tema tahun ini, "Renewed Commitment to Social Development and Social Justice" mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam arus kemajuan negara.

Beliau berkata kemakmuran sesebuah negara tidak seharusnya diukur berdasar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sebaliknya melalui sejauh mana kekayaan dan peluang diagihkan secara saksama dalam kalangan rakyatnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Apabila akses kepada pendidikan, pekerjaan, perumahan, kesihatan dan perlindungan sosial dinikmati secara baik, maka wujudlah kestabilan, keyakinan rakyat dan keharmonian sosial,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Aaron berkata keadilan sosial berkait rapat dengan perpaduan nasional seperti yang dicerminkan dalam Indeks Perpaduan Nasional, yang menjadikan tadbir urus dan pembangunan sebagai petunjuk utama dalam menilai pengurusan ekonomi, kemudahan awam, penyampaian perkhidmatan serta pengurusan masyarakat.

"Apabila tadbir urus dilaksanakan secara telus dan inklusif, serta pembangunan dirasai secara adil oleh semua lapisan masyarakat, maka perpaduan akan semakin kukuh,” katanya.

Aaron berkata Kerajaan MADANI terus mengamalkan pendekatan keseluruhan kerajaan, melibatkan usaha bersepadu merentas kementerian dan agensi bagi memastikan keadilan sosial diterjemahkan dalam dasar dan tindakan yang konkrit.

Antara inisiatif yang diketengahkan ialah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi meringankan kos sara hidup, inisiatif subsidi bahan api bersasar BUDI95 serta Akta Pekerja Gig 2025 yang diluluskan untuk menyediakan rangka perlindungan sosial yang lebih jelas dan saksama bagi pekerja ekonomi gig.

Beliau juga memetik Dasar Sosial Negara 2030, yang menyelaras 44 dasar sosial merentasi 19 kementerian, dengan fokus kepada keperluan asas, potensi individu, sistem sokongan sosial dan tanggungjawab sosial.

Langkah lain termasuk inisiatif i-Lindung di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang membolehkan ahli menggunakan sebahagian simpanan mereka untuk perlindungan insurans dan takaful, serta Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang melindungi individu bekerja sendiri daripada kemalangan dan kehilangan pendapatan.

Aaron berkata inisiatif seperti Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025, Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Terbengkalai Sifar 2030 selanjutnya menunjukkan komitmen kerajaan terhadap keadilan sosial.

“Marilah kita bersama-sama memperbaharui komitmen untuk memperkukuh keadilan sosial, membina kesejahteraan rakyat dan memperkasa perpaduan negara. Dengan usaha bersama kita dapat menjadikan Malaysia sebuah negara yang adil, inklusif dan harmoni untuk generasi kini dan masa depan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan