Ad Banner
 AM > BERITA

Tengku Panglima Perang Pahang Ziarah Keluarga Mendiang Truper Indiran

21/02/2026 06:03 PM

GEORGE TOWN, 21 Feb (Bernama) -- Tengku Panglima Perang Pahang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah berkenan menziarahi keluarga anggota tentera mendiang Truper K. Indiran di Taman Sri Nibong di sini. 

Ketibaan Tengku Ahmad di kediaman keluarga mendiang pada 12.55 tengah hari disambut Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga anggota tentera itu.

Tengku Ahmad meluangkan masa menyantuni waris mendiang serta menzahirkan ucapan takziah atas kehilangan seorang perwira muda yang sedang dalam usaha meningkatkan kemahiran diri demi kedaulatan negara.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ibu mendiang, S. Usha, 52, berkata kesediaan Tengku Ahmad berkenan menziarahi ke kediaman mereka sedikit sebanyak memberi kekuatan dan semangat kepada keluarga dalam menghadapi kehilangan tersebut.

“Dengan keberangkatan Tengku Ahmad ke rumah kami pun sudah membuatkan saya rasa lega dan bersemangat sedikit. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mendiang yang berusia 22 tahun itu sedang mengikuti kursus kru Armor di Kem Batu 10 Kuantan, Pahang ketika ditemukan tidak sedarkan diri pada 18 Feb sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan. 

Sementara itu, mayat mendiang Indiran dibawa ke Tanah Perkuburan India Batu Lanchang di sini kira-kira 4.15 petang sambil diiringi ahli keluarga. 

Majlis pengebumian berlangsung mengikut istiadat tentera dengan mendiang dikebumikan bersebelahan pusara bapanya Mejar C. Kayamboo, iaitu juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam nahas pesawat TUDM jenis Beechcraft B200T.  

Istiadat pengebumian tentera diketuai Pegawai Memerintah Rejimen Pertama Kor Armor Diraja Kuantan Lt Kol Nazrol Abdullah bersama 12 pegawai dan 50 anggota dengan sembilan anggota membawa keranda mendiang Indiran. 

Selesai upacara pengebumian, Nazrol menyerahkan Jalur Gemilang kepada ibu mendiang Indiran yang beberapa kali menahan sebak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan