Ad Banner
 AM > BERITA

APM Bantu Sembilan Calon STPM Ke Sekolah Redah Banjir Di Paitan

22/02/2026 05:41 PM

KOTA KINABALU, 22 Feb (Bernama) -- Sembilan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Ulangan 2025 dapat meneruskan sesi persekolahan apabila dibantu keluar dari kawasan terjejas banjir oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Paitan.

Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Paitan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan operasi bantuan itu dilaksanakan bagi memindahkan pelajar terbabit ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salaping, di Kota Marudu.

Menurut kenyataan itu, kesemua pelajar berkenaan berdepan kesukaran untuk keluar dari kawasan kediaman masing-masing berikutan paras air yang meningkat dan menjejaskan laluan utama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Anggota APM bertindak membantu mengeluarkan pelajar dari kawasan banjir menggunakan kaedah pemindahan yang selamat dan terkawal bagi memastikan mereka dapat hadir ke sekolah tanpa sebarang risiko keselamatan dengan menggunakan kenderaan jabatan.

“Bantuan ini memberi impak besar kepada pelajar kerana ia memastikan mereka tidak tercicir daripada sesi pembelajaran serta persediaan peperiksaan penting. Selain menjamin keselamatan, tindakan ini turut memberi ketenangan kepada pelajar dan ibu bapa dalam menghadapi situasi bencana.

“Usaha berkenaan membuktikan bahawa sokongan agensi penyelamat memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan pendidikan walaupun berdepan cabaran bencana alam,” menurut kenyataan itu.

Operasi tersebut dilaporkan berjalan lancar hasil kerjasama anggota bertugas yang mengutamakan aspek keselamatan serta kebajikan pelajar sepanjang proses pemindahan dijalankan.

Setakat 4 petang, jumlah mangsa banjir di Sabah berkurang kepada 3,266 orang daripada 1,401 keluarga petang ini berbanding 5,141 orang daripada 2,160 keluarga 8 pagi tadi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan