Ad Banner
 AM > BERITA

Industri Kenaf Bakal Jadi Komoditi Mesra Alam Pada Masa Depan

22/02/2026 09:41 PM

PADANG BESAR, 22 Feb (Bernama) -- Industri kenaf negara kini berada pada fasa peralihan penting untuk diangkat sebagai komoditi mesra alam pada masa depan.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kenaf tidak lagi boleh dilihat sekadar tanaman sampingan sebaliknya merupakan penyumbang strategik kepada kelestarian industri komoditi negara.

"Bagi tahun 2025, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah berjaya memproses anggaran 70 metrik tan biji benih," katanya.            

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan LKTN sempena lawatan kerjanya ke Perlis dan menghadiri majlis berbuka puasa di Dewan Bukit Keteri, Beseri, hari ini.

Noraini berkata kementeriannya akan terus menyokong inisiatif pemodenan industri bagi memastikan pulangan kepada penanam kenaf sentiasa kompetitif.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berbuka puasa, beliau berkata penanaman kenaf melahirkan ramai usahawan yang mengeluarkan produk berasaskan kenaf. 

Antaranya ialah penghasilan cendawan menggunakan sisa kenaf dan padi, kenaf sebagai bahan utama diet makanan kucing melalui produk ecovet serta potensi daun kenaf sebagai minuman teh yang baik untuk kesihatan dan mengurangkan berat badan melalui jenama biokenaf. 

"Produk ini dibangunkan dengan kerjasama universiti tempatan terutamanya dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

"Saya dimaklumkan produk biokenaf yang diformulasikan oleh penyelidik UMK juga seorang wanita Dr Maryana Mohamad Nor, berjaya membangunkan produk suplemen kesihatan melalui biokenaf,” katanya. 

Noraini berkata kepakaran Perlis dalam penanaman kenaf kini mula menarik minat antarabangsa dengan potensi kerjasama pengembangan tanaman itu ke negara seperti Kenya yang mempunyai iklim separa gersang.

"Penanaman kenaf telah berkembang pesat terutamanya di Padang Besar dan Chuping, menggantikan kawasan yang dahulunya didominasi oleh tanaman tebu dan tembakau. Saya yakin penanaman kenaf mempunyai impak besar kepada ekonomi negara di peringkat nasional.

"Saya berkesempatan berjumpa dengan beberapa pengusaha tanaman kenaf yang rata-ratanya terdiri daripada wanita begitu gigih mengusahakan tanaman kenaf yang pastinya dibantu oleh pihak LKTN dan agensi kerajaan negeri yang lain," katanya.

Noraini berkata usaha itu dapat dilihat melalui inisiatif LKTN melalui Pembangunan Kenaf Integrated Park (KIP) di Chuping dekat sini yang merupakan projek perintis memfokuskan kepada pemprosesan pulpa kenaf untuk pasaran produk mesra alam.

Beliau berkata industri kenaf menyumbang kepada aspirasi Malaysia MADANI melalui beberapa aspek penting termasuk sebagai sumber ekonomi alternatif kepada negara.

Justeru, katanya, kerajaan menyasarkan keluasan tanaman kenaf mencecah 2,500 hektar pada 2025/2026 sebagai usaha memperkukuh sektor agrikomoditi dan meningkatkan pendapatan petani.

"Saya yakin, melalui inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak LKTN, kenaf akan digunakan secara meluas dalam penghasilan pelet makanan haiwan, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan mentah import. Ini terbukti apabila produk ecovet berjaya dibangunkan oleh syarikat tempatan.

"Selain itu, melalui pembangunan penyelidikan yang berterusan, serat kenaf kini diintegrasikan ke dalam industri automotif, pembinaan (bahan binaan berasaskan kenaf), dan tekstil. Ia juga dijadikan penyelidikan utama mutasi teraruh (teknologi nuklear). Untuk itu, varieti baharu seperti MK1 dan MK2 telah berjaya dihasilkan untuk meningkatkan daya saing agronomi tanaman ini di pasaran global," katanya.

Pada majlis berbuka puasa itu, beliau menyempurnakan penyerahan bayaran hasil biji benih kenaf bagi musim 2025/2026 kepada tiga penanam di Perlis yang mencatatkan hasil sangat membanggakan.

Mereka terdiri daripada Wahab Hamid yang berjaya mengeluarkan 1,980 kilogram (kg) hasil dengan nilai pendapatan sebanyak RM79,200, Muhammad Izhan Abu Bakar (1,860kg dengan nilai pendapatan RM74,400) dan Mohd Shahril Mansor (834kg dengan nilai pendapatan RM33,360).

Terdahulu, pada sebelah pagi, Noraini mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemprosesan Biji Benih yang mempunyai keupayaan memproses biji benih serta menjalankan ujian kualiti benih secara komprehensif di Perlis selain turut meninjau kawasan tanaman kenaf di Batu 17, Jalan Kaki Bukit bagi melihat sendiri perkembangan tanaman itu di lapangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan