Ad Banner
 AM > BERITA

Kesiapsiagaan Hospital Kerajaan, Penyakit Talasemia Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

23/02/2026 08:58 AM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kesiapsiagaan hospital kerajaan menghadapi peningkatan penyakit tidak berjangkit serta isu berkaitan penyakit talasemia antara dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat Parlimen, Chong Zhemin (PH-Kampar) meminta Menteri Kesihatan menyatakan tahap kesiapsiagaan hospital kerajaan menghadapi peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan penyakit jantung serta peruntukan khusus untuk pencegahan awal, pada sesi soal jawab.

Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) pula meminta Menteri Kesihatan menyatakan jumlah terkini pesakit talasemia di negara ini dan kos yang diperlukan bagi merawat seorang pesakit dari usia kanak-kanak hingga 40 tahun, selain ingin tahu sama ada kerajaan akan membangunkan kaedah rawatan Gene Therapy untuk pesakit.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada sesi sama, Syahredzan Johan (PH-Bangi) bertanya kepada Menteri Pengangkutan mengenai sama ada waktu puncak perkhidmatan Rapid Rail akan diubah bersempena dengan Ramadan yang melihat perubahan pola pergerakan dan waktu puncak baharu yang akan ditetapkan.

Selain itu, Datuk Dr Richard Rapu (GPS-Betong) minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjelaskan bagaimana rangka kerja Malaysia Care Economy dan pelan tindakan 2026-2030 menangani jurang akses, kualiti dan tenaga kerja penjagaan bagi warga emas, kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU), selain ingin tahu mengenai sasaran, peruntukan dan indikator prestasi khusus bagi tempoh berkenaan.

Selesai sesi soal jawab, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) dijadualkan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.1) serta RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026, manakala Menteri Kewangan akan membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026, masing-masing bagi bacaan kali pertama.

Turut tersenarai, RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 oleh Menteri Kewangan bagi bacaan kali kedua sebelum Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) membentangkan usul mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan