Ad Banner
 AM > BERITA

Nasi Ambeng Wan Mahdam Hidupkan Tradisi Dulang, Sasar Jual 1,000 Unit Sepanjang Ramadan

23/02/2026 10:52 AM

JOHOR BAHRU, 23 Feb (Bernama) -- Di sebalik kemeriahan puluhan gerai di Bazar Ramadan Angsana di sini, deretan dulang berwarna-warni berisi nasi ambeng lengkap dengan lauk-pauk tradisi Jawa mencuri tumpuan pengunjung yang mencari kelainan juadah berbuka puasa.

Keunikan itu ditampilkan menerusi Nasi Ambeng Wan Mahdam, dengan nasi ambeng dihidangkan dalam dulang pelbagai reka bentuk bukan sekadar sebagai pembungkusan tetapi bagi mengembalikan cara asal menikmati juadah berkenaan secara berkongsi.

Pemilik Wan Mahdam Catering and Event Mohd Irwan Mahdam, 40, berkata konsep itu diperkenalkan dua tahun lepas setelah melihat nasi ambeng kurang diketengahkan di bazar Ramadan walaupun sinonim sebagai makanan tradisi masyarakat Johor.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kalau ikut cara Jawa yang sebenar, nasi ambeng memang makan dalam dulang dan pakai tangan. Itu yang kami nak kekalkan. Mula-mula orang rasa pelik sebab beli di bazar, fikir macam mana nak bawa balik.

“… tetapi kami di sini akan balut kemas dengan plastik pembungkus dan masukkan dalam beg untuk memudahkan pelanggan membawanya. Menariknya, kalau pelanggan nak makan di bazar ini pun boleh sebab pihak pengurusan sediakan meja serta ruang untuk bersila,” katanya kepada Bernama.

Anak kelahiran Batu Pahat itu berkata setiap set dulang dijual pada harga RM30 dan sesuai untuk dua hingga tiga orang, lengkap dengan tiga lauk iaitu ayam sambal, ayam kicap dan rendang daging bersama nasi putih dua hidangan, mi kicap lada hitam, serunding, ikan masin, timun serta sambal goreng.

Beliau berkata bagi set dulang, kesemua lauk disertakan sekali dan pelanggan bebas memilih reka bentuk dulang yang dimahukan manakala dulang berkenaan boleh dipulangkan semula dengan bayaran balik antara RM2 hingga RM3, namun kebanyakan pelanggan memilih untuk menyimpannya sebagai kegunaan di rumah.

“Tahun lepas, jualan nasi ambeng dalam dulang sahaja mencecah kira-kira 500 unit sepanjang Ramadan. Tahun ini kami sasarkan 1,000 unit,” katanya yang turut berniaga di Kampung Melayu Majidee dengan dibantu lima pekerja bagi setiap lokasi.

Mohd Irwan yang mula berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak 2012 berkata sebelum ini beliau menjual nasi beriani di bazar Ramadan namun beralih kepada nasi ambeng kerana melihat potensinya lebih luas dan dekat dengan selera masyarakat setempat.

Seorang pelanggan, Nur Ainatul Shuhada Tahar, 37, berkata dia pada awalnya menyangka dulang yang dibawa pulang suaminya tahun lepas diperoleh dari masjid.

“Saya terkejut apabila buka pintu rumah nampak suami pulang dari bazar bawa nasi ambeng dalam dulang. Ingatkan ambil dari masjid tapi rupa-rupanya memang dijual sekali. Bagi saya ini lain daripada yang lain. Hidangannya sedap dan kita boleh pilih dulang sendiri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan