Ad Banner
 AM > BERITA

MSF@Ramadan Perak Diteruskan, Cadang "Red Card" Tangani Pembaziran - Penganjur

23/02/2026 07:01 PM

IPOH, 23 Feb (Bernama) -- Program MySaveFood@Ramadan (MSF) Negeri Perak diteruskan tahun ini dengan objektif mengurangkan pembaziran makanan di bazar Ramadan melalui aktiviti menyelamatkan makanan yang tidak terjual untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

Pengurus Projek MSF Negeri Perak Puteri Aisyah Megat Shariffudin berkata program itu yang masuk tahun ke enam pelaksanaannnya di negeri ini, juga bertujuan memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengelakkan pembaziran.

“Daripada pihak peniaga pula, sekiranya mereka berjaya mengawal lebihan makanan setiap hari ia sudah tentu dapat mengurangkan kos dan mereka boleh merancang jualan dengan lebih bijak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata pada hari pertama pelaksanaan semalam sebanyak 58 kilogram (kg) lebihan makanan serta 68 kg lebihan minuman berjaya dikumpulkan melibatkan dua bazar di sekitar Ipoh, iaitu Bazar Taman Cempaka dan Bazar Silibin.

Puteri Aisyah berkata kedua-dua bazar tersebut boleh dikategorikan sebagai kecil dengan masing-masing mempunyai kira-kira 40 gerai sahaja, namun jumlah lebihan yang diperoleh dianggap agak tinggi.

“Secara purata satu gerai boleh mencecah hampir sekilogram lebihan makanan meskipun bazar yang ada di situ kecil. Melalui pemerhatian kami kesedaran dalam kalangan peniaga untuk mengurangkan pembaziran masih kurang walaupun setiap tahun kita adakan program bagi maklumkan perkara ini.

“Justeru, dalam usaha memperkukuh kesedaran, pihak kami ada berbincang bagi tahun ini untuk mempertimbangkan pendekatan baharu iaitu memberi kad peringatan (red card) kepada gerai yang didapati berulang kali menghasilkan lebihan makanan dalam jumlah besar,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, cadangan itu masih di peringkat perbincangan dalaman dan berada dalam fasa pemerhatian awal sebelum dibawa untuk perbincangan lanjut bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, Puteri Aisyah berkata tahun ini program MSF@Ramadan Negeri Perak akan melibatkan 12 bazar Ramadan di seluruh negeri, berbanding 15 bazar tahun lepas. 

Beliau berkata program tersebut turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Daerah Perak Tengah dan Tanjong Malim, Majlis Perbandaran Teluk Intan, selain Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) yang membantu melalui sukarelawan Gerakan Pengguna Siswa (GPS), terdiri daripada pelajar universiti.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan