KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) memperuntukkan RM89 juta bagi melaksanakan Program Latihan dan Bimbingan Perseorangan INSKEN (Bangkit) untuk memperkukuh pendigitalan usahawan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata program berkonsep mentor-menti itu bertujuan memperkukuh literasi digital serta mempercepat transformasi perniagaan usahawan, khususnya dalam aspek e-dagang.
"Kita akan berikan mereka beberapa siri kursus, seminar dan bengkel bagi meningkatkan literasi digital. Banyak kejayaan terbukti apabila hasil jualan usahawan melonjak selepas mendapat pendedahan dalam digitalisasi melalui program e-dagang ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad menjawab soalan tambahan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai peranan INSKEN dalam meningkatkan pembangunan usahawan khususnya dalam aspek digitalisasi serta perkembangan Skim Biaya Ramadan dan Perniagaan Rakyat (Barakat).
Mengulas tentang Program Barakat, Mohamad berkata setakat 22 Feb lepas, sebanyak 2,204 usahawan di seluruh negara telah diluluskan permohonan membabitkan pembiayaan sebanyak RM29.9 juta.
Selain itu, Mohamad berkata kira-kira 500 lagi permohonan melibatkan pembiayaan hampir RM5 juta, sedang dalam proses dan dijangka diluluskan dalam masa terdekat.
Menjawab soalan tambahan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) berkenaan jaminan penguasaan ekonomi bumiputera, Mohamad berkata penglibatan mereka dalam sektor keusahawanan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan terus diperkukuh menerusi pelbagai program digitalisasi termasuk platform MyMall yang menjana hampir RM30 juta hasil jualan setakat ini.
Menurut Mohamad menerusi pelaksanaan pelan pembangunan termasuk Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), kementerian akan terus memastikan hak dan kepentingan usahawan Bumiputera kekal terjamin.
Sementara itu, menjawab soalan asal Muslimin berkenaan pemerkasaan usahawan bumiputera dan PMKS dalam aspek inovasi dan digitalisasi, beliau berkata usaha tersebut akan terus dipacu melalui pendekatan bersepadu, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan PuTERA35.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial