Ad Banner
 AM > BERITA

PM Anwar Setuju Pertimbang Pelepasan Perolehan Dana ATM - Mohamed Khaled

24/02/2026 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju mempertimbangkan pelepasan perolehan dana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi perbelanjaan operasi pasukan keselamatan itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu dimaklumkan Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam pertemuan bersama pimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM di Wisma Perwira di sini hari ini.

“Perdana Menteri memaklumkan beliau memahami soal kesiagaan dan operasi yang perlu diteruskan dan keputusan untuk membekukan perolehan perlulah dibuat secara berhati-hati yang pada akhirnya tidak menjejaskan operasi dan kesiagaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Beliau bersetuju supaya perkara-perkara seperti itu boleh dipertimbang dan dikecualikan,” katanya pada sidang media selepas pertemuan itu sempena Program Ihya’ Ramadan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.

Pada 16 Jan lepas, Anwar mengarahkan semua keputusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait dengan isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Pembekuan itu dibuat berikutan kontroversi yang melanda ATM berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan beberapa bekas pimpinan tertinggi dalam ATM.

Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata Perdana Menteri turut menekankan supaya semua proses perolehan dilaksanakan secara telus serta menyokong usaha Kementerian Pertahanan memperkasa tadbir urus khususnya dalam aspek perolehan.

“Selain itu, Perdana Menteri juga memberi penekanan terhadap kesiapsiagaan ATM sebagai satu kemestian berasaskan perubahan geopolitik semasa, sama ada di rantau ini mahupun di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata dalam pertemuan itu juga, Perdana Menteri memberi penekanan terhadap kebajikan dan kesejahteraan anggota tentera termasuk penyediaan rumah yang lebih selesa.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan