Ad Banner
 AM > BERITA

Berita-Berita Ringkas Dewan Negara: 24 Feb

24/02/2026 10:27 PM

123 PROGRAM ADVOKASI HIV DILAKSANAKAN DI UNIVERSITI AWAM HINGGA KINI - KPT

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Sebanyak 123 program advokasi kesedaran dan pendidikan penyakit berjangkit, seksual dan reproduktif telah dilaksanakan pada peringkat universiti awam setakat ini dengan lebih 50,000 mahasiswa dilibatkan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata program berkenaan adalah antara usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mengawal serta mencegah peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, beliau berkata KPT bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia bagi menyediakan akses kepada saringan serta rawatan susulan, khususnya kepada pelajar yang berisiko.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Anna Bell @ Suziena Perian tentang usaha dalam mengawal dan mencegah peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar IPT, pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini, hari ini.

-- BERNAMA 

 

KKM DIARAH TELITI ISU TEMPAT LETAK KERETA DI HOSPITAL

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) telah diarah untuk meneliti isu kekangan tempat letak kereta di semua hospital secara menyeluruh dan mampan supaya satu pelan komprehensif dapat disediakan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata keperluan itu merangkumi Hospital Sarikei, Sarawak dengan membuka ruang kerjasama bersama-sama pihak swasta dalam menangani masalah berkenaan.

“KKM sentiasa memantau situasi semasa ini di seluruh negara,” katanya menjawab pertanyaan Senator Roderick Wong Siew Lau berhubung rancangan untuk menambah kemudahan tempat letak kereta di Hospital Sarikei dan kerja-kerja naik taraf yang akan dilaksanakan, pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

-- BERNAMA 

 

KERAJAAN SALUR RM750,000 PERKASA KOMUNITI SIAM TAHUN LEPAS

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperuntukkan RM750,000 tahun lepas bagi memperkasakan budaya dan sosioekonomi komuniti masyarakat Siam di Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata peruntukan itu merangkumi penganjuran program utama seperti sambutan Songkran, Minggu Perpaduan, pameran adat perkahwinan etnik dan program "Rumah Kami" yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI memelihara kepelbagaian etnik melalui pendekatan inklusif.

"Meninjau trend peruntukan sebelum ini, kementerian telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 pada 2023 dan RM840,000 pada 2024 yang memfokuskan kepada pendidikan bahasa ibunda serta pemeliharaan adat resam masyarakat Siam.

"Kesemua inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara KPN dengan Persatuan Siam Malaysia," katanya menjawab pertanyaan Senator Tuan Niran Tan Kran yang ingin tahu jumlah peruntukan telah disalurkan kepada masyarakat bumiputera Siam dalam tempoh tiga tahun terakhir hingga 2025 di Dewan Negara, hari ini.

-- BERNAMA

 

KPKM KOMITED TINGKAT SSR PADI SABAH, HARGA BERAS IMPORT KEKAL TERKAWAL

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Tanggapan harga beras di Sabah lebih tinggi berbanding Semenanjung adalah tidak tepat, sebaliknya lebih murah berikutan subsidi yang disalurkan kerajaan, kata  Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata kerajaan menyalurkan subsidi RM350 bagi setiap tan metrik beras putih import, menjadikan harga jualan runcit di Sabah kira-kira RM2.45 hingga RM2.50 sekilogram dan kadar itu lebih murah berbanding harga kawalan RM2.60 sekilogram di Semenanjung.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan Senator Datuk Edward Linggu Bukut berhubung keberkesanan subsidi dan kos logistik bekalan beras di Sabah pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Mengenai bekalan beras putih di Sabah, beliau berkata bagi 2025, jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak 286,489.6 tan metrik merangkumi sumber tempatan dan import.

"Daripada jumlah itu, kira-kira 55,857.5 tan metrik ialah hasil pengeluaran tempatan, manakala baki 230,632.1 tan metrik ditampung melalui bekalan import," katanya.

-- BERNAMA

 

MOSTI MANFAAT TEKNOLOGI KOS RENDAH TINGKAT PRODUKTIVITI KOMUNITI LUAR BANDAR 

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memanfaatkan teknologi kos rendah dan sesuai guna bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti hidup komuniti luar bandar, kata Timbalan Menteri berkenaan Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Beliau berkata melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), sebanyak 65 sistem aplikasi berteraskan teknologi angkasa seperti penderiaan jauh dimanfaatkan lebih 100 agensi bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan dalam pelbagai bidang.

Antara aplikasi berkenaan ialah sistem telaga tiub berasaskan teknologi angkasa di lembangan Sungai Muar bagi mengenal pasti sumber air bawah tanah, Sistem Maklumat Geospatial Tanaman Padi (MakGeo Padi) untuk memantau kawasan penanaman padi serta Potential Fishing Site Identification (FSI) yang membantu lebih 30,000 nelayan mengenal pasti lokasi penangkapan ikan secara tepat.

Beliau menjawab soalan Senator Abun Sui Anyit mengenai manfaat teknologi kos rendah dan lestari untuk meningkatkan produktiviti serta kualiti hidup komuniti luar bandar pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan