Ad Banner
 AM > BERITA

24,761 Calon UPKK 2025 Dapat 9A

25/02/2026 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Sebanyak 24,761 daripada 251,392 calon Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025 mencatatkan keputusan cemerlang memperoleh A dalam semua sembilan mata pelajaran peperiksaan itu.

Mata pelajaran itu ialah al-Quran, Akidah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Bahasa Arab, Ibadah, Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) dan Amali Solat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pencapaian Gred Purata Kebangsaan (GPK) UPKK 2025 secara keseluruhan ialah 1.83 mata berbanding 1.85 pada tahun sebelumnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Daripada jumlah keseluruhan calon yang menduduki semua kertas peperiksaan, peratus calon yang mencapai tahap lulus keseluruhan UPKK 2025 ialah 89.61 peratus,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2025 di sini hari ini.

Zulkifli berkata sebanyak 25,230 calon berjaya mendapat 8A manakala 18,990 lagi memperoleh 7A. 

Beliau berkata jumlah calon berdaftar bagi 2025 ialah 252,997 orang yang menunjukkan permintaan terhadap UPKK semakin meningkat dengan kenaikan sebanyak 5.17 peratus berbanding 2024, iaitu 240,244 calon.

“Jumlah calon tidak hadir menunjukkan penurunan kepada 0.63 peratus berbanding 2024 iaitu 1.36 peratus. Ini menunjukkan keprihatinan ibu bapa dan usaha guru yang berterusan dalam menarik minat murid untuk menduduki UPKK,” katanya.

Bermula 2024, format baharu UPKK diperkenalkan berdasarkan Kurikulum KAFA 2.0 dengan keseluruhan mata pelajaran dinilai melibatkan komponen Pentaksiran Pusat merangkumi mata pelajaran al-Quran, Akidah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Bahasa Arab dan Ibadah manakala dua komponen Pentaksiran Bilik Darjah ialah PCHI dan Amali Solat.

Sementara itu, keputusan menunjukkan peningkatan di beberapa negeri dengan TERENGGANU mendahului apabila 2,457 daripada 22,128 calon memperoleh 9A.

Pengarah Yayasan Islam Terengganu Datuk Hadi Hassan berkata jumlah itu meningkat kira-kira 70 peratus berbanding 1,488 daripada 20,896 calon pada tahun sebelumnya, manakala Gred Purata Negeri (GPN) turut bertambah baik kepada 2.00 pada 2025 berbanding 2.01 pada 2024.

Di PAHANG, 1,977 calon memperoleh 9A berbanding 1,636 pada 2024, manakala 2,251 calon meraih 8A. Kuantan muncul daerah terbaik dengan Gred Purata Daerah (GPD) 1.59, diikuti Raub (1.62) dan Maran (1.65).

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata 10 daerah mencatat peningkatan, manakala empat lagi merekodkan sedikit penurunan, dengan Cameron Highlands menunjukkan lonjakan tertinggi apabila GPD meningkat daripada 2.10 pada 2024 kepada 1.85 pada tahun lepas.

Di PULAU PINANG, sebanyak 1,493 daripada 7,888 calon memperoleh 9A, meningkat berbanding 1,025 pada 2024.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang Datuk Marzuki Hassan berkata 92.21 peratus calon mencapai tahap penguasaan minimum, manakala 17 murid tidak hadir menduduki peperiksaan.

Di MELAKA, sejumlah 1,340 calon memperoleh semua A, berbanding 1,474 pada 2024. Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah berkata GPN negeri bertambah baik kepada 1.66 berbanding 1.68 pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata Alor Gajah merekodkan GPD terbaik 1.62, diikuti Melaka Tengah (1.67) dan Jasin (1.70), manakala 45 pelajar diperaku sebagai pelajar cemerlang UPKK peringkat negeri 2025.

Di NEGERI SEMBILAN, 1,211 calon mendapat 9A dengan negeri mencatat Gred Purata Skor (GPS) 1.76 dan kadar kelulusan keseluruhan 90.65 peratus.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan