Ad Banner
 AM > BERITA

Jangan Tiru Perbuatan Hina Ramadan Di Media Sosial - Zulkifli

25/02/2026 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan mengingatkan umat Islam supaya tidak meniru perbuatan seorang wanita yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan minum secara terbuka menerusi siaran langsung di akaun TikTok miliknya.

Beliau berkata Jabatan Mufti dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mempergiat usaha mendidik dan memberi kesedaran bagi memastikan umat Islam terus menghormati bulan Ramadan.

“Pihak kami telah menerima pemakluman berkaitan kes itu dan menasihatkan umat Islam di negara ini supaya mengelakkan perbuatan yang dilihat membimbangkan ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Kita sudah buat khutbah khas pada awal Ramadan...mungkin selepas ini kita minta ia disampaikan kepada wanita-wanita juga," katanya pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025 di sini hari ini.

Zulkifli berkata perkara itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut, namun menegaskan cabaran lebih utama ialah bagaimana menampilkan keindahan Islam secara menyeluruh bukan saja dalam kalangan umat Islam malah kepada masyarakat bukan Islam.

“Masyarakat berbilang kaum dan agama perlu saling mengenali untuk mengelakkan kes menghina agama sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang mengiktiraf perbezaan dalam bingkai kesatuan,” katanya. 

Sebelum itu, tular di media sosial memaparkan seorang wanita didakwa makan dan minum secara terbuka ketika berinteraksi bersama pengikutnya menerusi siaran langsung di TikTok.

Pagi tadi, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Datuk Mohd Asri Abdullah mengesahkan wanita berusia 27 tahun itu ditahan di Kuala Pilah semalam, dan kini disiasat di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 atas kesalahan menghina atau mencela agama Islam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan