Ad Banner
 AM > BERITA

Keberanian Tujuh Pemuda Selamatkan Mangsa Nahas Raih Pujian Perdana Menteri

25/02/2026 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Tindakan pantas tujuh pemuda yang terjun ke dalam tasik bagi menyelamatkan seorang ibu serta dua anak kecil yang terlibat dalam nahas di Tasik Biru, Kundang dekat sini, Isnin lepas, mendapat perhatian dan pujian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menzahirkan rasa tersentuh dan penghargaan atas tindakan nekad pemuda berkenaan yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi menyelamatkan tiga nyawa.

“Penghargaan setulusnya buat tujuh pemuda ini. Keberanian dan keikhlasan kalian mencerminkan nilai kemanusiaan dan ihsan yang amat bermakna.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Saya juga mendoakan agar ibu serta kedua-dua anak ini diberi kesembuhan dan terus berada dalam perlindungan Allah SWT,” kata beliau.

Media hari ini melaporkan keberanian tujuh pemuda itu yang bertindak terjun ke dalam tasik bagi menyelamatkan seorang wanita bersama dua anaknya selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam tasik berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, wanita berusia lingkungan 40-an bersama dengan dua anak perempuannya yang masing-masing berusia tiga dan enam tahun berjaya diselamatkan sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapat rawatan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan