KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Institut Jantung Negara (IJN) mencapai kejayaan perubatan yang penting dengan menjadi hospital pertama di Asia yang menggunakan Sistem Pemetaan dan Ablasi Affera Prism-2 secara klinikal untuk rawatan fibrilasi atrium (AFib), sejenis gangguan irama jantung yang biasa.
Sistem elektrofisiologi baharu yang dilancarkan secara rasmi pada 9 Februari itu menggabungkan perisian pemetaan jantung canggih dan teknologi ablasi dwi-tenaga dalam satu platform, membolehkan pakar merawat gangguan irama jantung yang kompleks dengan lebih ketepatan dan fleksibiliti.
Pakar Perunding Kanan Kardiologi dan Pengarah Klinikal Elektrofisiologi Intervensi dan Peranti Boleh Diimplan di IJN Datuk Dr Azlan Hussin berkata sistem elektrofisiologi bersepadu generasi akan datang ini mencerminkan perubahan ketara dalam cara bagaimana gangguan irama jantung yang kompleks dirawat.
Beliau berkata teknologi ini membolehkan pakar melakukan pemetaan jantung dengan lebih terperinci dan rawatan ablasi menggunakan kateter tunggal, tanpa perlu menukar peranti semasa prosedur.
“Ini suatu yang unik dalam bidang elektrofisiologi. Sebelum ini, kami memerlukan sekurang-kurangnya dua kateter yang berbeza, satu untuk pemetaan dan satu lagi untuk menghantar tenaga. Dengan sistem ini, kami boleh menyelesaikan keseluruhan prosedur menggunakan satu kateter,” katanya kepada pemberita pada taklimat media di IJN, di sini, hari ini.
Dr Azlan berkata integrasi ini meningkatkan dengan ketara kecekapan prosedur, apabila kes rumit yang biasanya mengambil masa antara empat setengah hingga lima jam kini dapat diselesaikan hanya dalam satu hingga dua jam.
IJN, katanya, telah lama melakukan rawatan fibrilasi atrium, dengan menambah bahawa rawatan invasif pertama untuk penyakit itu di negara ini diperkenalkan di institut tersebut.
"Rawatan kini telah memasuki fasa baharu, yang mana sumber tenaga lebih baharu digunakan untuk memastikan pesakit bukan sahaja menerima terapi yang berkesan tetapi juga lebih selamat dan sesuai," katanya.
Beliau berkata AFib merupakan suatu keadaan yang mana jantung berdegup dengan tidak teratur dan menyifatkannya sebagai "wabak yang semakin meningkat" di Malaysia dan di seluruh dunia, terutamanya dalam kalangan populasi yang semakin meningkat usia.
"Apabila pesakit semakin berusia, kemungkinan untuk mengalami ritma jantung yang tidak teratur juga meningkat. Dianggarkan antara 10 peratus dan 30 peratus individu mungkin mengalami fibrilasi atrium apabila mereka meningkat usia.
"Sekiranya tidak dirawat, fibrilasi atrium boleh menjejaskan kualiti hidup dan membebankan sistem penjagaan kesihatan disebabkan oleh kekerapan berlaku dan komplikasi jangka panjang," katanya.
Sejak sistem itu dilancarkan pada awal Februari ini, IJN telah berjaya merawat 11 pesakit, termasuk kes yang diberikan subsidi kerajaan dan swasta. Kesemua 11 prosedur telah berjaya diselesaikan tanpa komplikasi, dan pesakit dibenarkan keluar pada keesokan harinya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial