Ad Banner
 AM > BERITA

Dewan Rakyat Lulus RUU Kualiti Alam Sekeliling

25/02/2026 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 yang antaranya untuk membolehkan Sabah dan Sarawak diberi kuasa perundangan dalam pengurusan buangan terjadual.

RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas ia dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata RUU itu adalah langkah strategik kerajaan untuk memperkukuh kerangka perundangan alam sekitar negara selaras dengan prinsip federalisme, tadbir urus baik serta komitmen terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Pindaan ini merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan bagi memastikan sistem pengurusan alam sekitar negara kekal responsif, fleksibel dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa," katanya semasa sesi penggulungan RUU itu.

Berhubung keperluan sistem atas talian bagi pelaporan pemantauan alam sekitar secara berterusan dan pengendalian buangan terjadual, beliau berkata Sarawak telah membangunkan Sistem Pengurusan Sisa Terjadual di bawah platform Environmental Information System Sarawak (EnvISS) pada 22 Jan 2025.

"Beberapa siri sesi latihan sistem telah dianjurkan kepada semua pegawai dan wakil industri yang berkaitan bagi memberi pendedahan dan persediaan," katanya.

Bagi Sabah pula, Arthur berkata Sabah Electronic Scheduled Waste Information System kini telah mencapai 90 peratus tahap kesiapsiagaan.

"Sistem ini akan menggantikan sistem eSWIS (Electronic Schedule Waste System) yang digunakan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah bagi tujuan pemantauan pergerakan buangan terjadual di Sabah dan sistem ini dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya pada November 2026," katanya.

Pindaan kali kelapan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) itu bertujuan meminda Seksyen 1 akta berkenaan dengan memasukkan subseksyen (3) baharu untuk memberikan menteri kuasa menggantung kuat kuasa keseluruhan atau mana-mana peruntukan akta tersebut di bahagian yang berlainan di Malaysia.

Terdahulu, 21 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan RUU berkenaan.

Antaranya, Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang menyifatkan pindaan bagi pemberian kuasa kepada menteri berpotensi mempercepat tindakan penguatkuasaan serta pemantauan.

Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) pula berkata pindaan Akta 127 itu dilihat sebagai cerminan kematangan federalisme, mengambil kira kepelbagaian realiti di Sabah dan Sarawak yang berbeza dari segi geografi dan cabaran pembangunan.

Riduan Rubin (Bebas-Tenom) yang turut menyokong RUU itu bagaimanapun menekankan kepentingan memastikan kesiapsiagaan institusi negeri berada pada tahap optimum bagi menyokong pelaksanaan kuasa autonomi secara berkesan.

"Sekiranya penggantungan dilaksanakan tanpa perjawatan teknikal mencukupi, kemudahan makmal forensik lengkap, sistem pemantauan bersepadu serta dana peralihan yang jelas, risiko kelemahan penguatkuasaan adalah nyata," katanya.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan