Ad Banner
 AM > BERITA

Lebih 2,000 Kes Buli, 3,570 Kesalahan Jenayah Berlaku Di Sekolah Tahun Lepas - KPM

26/02/2026 10:19 AM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Sebanyak 2,889 kes salah laku buli direkodkan tahun lepas dengan 740 kes di sekolah rendah dan 2,149 kes sekolah menengah, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM menerusi jawapan bertulis di portal Parlimen mendedahkan, bagi tempoh sama sebanyak 3,570 kes kategori salah laku jenayah dicatatkan membabitkan  457 kes sekolah rendah dan 3,113 kes sekolah menengah.

KPM juga menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku disiplin termasuk gejala buli dan jenayah yang berlaku di institusi pendidikan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Antara tindakan disiplin yang telah diambil oleh pihak sekolah termasuk memberi amaran lisan, mengeluarkan amaran bertulis, mengenakan kelas tahanan, melaksanakan hukuman rotan, menggantung persekolahan dan membuang murid dari sekolah. 

“Tindakan disiplin yang lebih tegas ini diambil berdasarkan tahap keseriusan kes yang berlaku,” menurut jawapan bertulis KPM bertarikh 24 Feb, bagi menjawab soalan V Ganabatiru (PH-Klang) berhubung jumlah keseluruhan kes buli dan jenayah direkodkan di sekolah di seluruh negara pada tahun lepas dan tindakan kementerian.

KPM memaklumkan 2024 merekodkan bilangan kes buli tertinggi, iaitu 7,681 kes melibatkan 1,992 kes di sekolah rendah dan 5,689 kes di sekolah menengah. 

KPM memaklumkan bilangan itu direkodkan berikutan hasil peningkatan tahap kesedaran dan pematuhan pihak sekolah, khususnya dalam kalangan murid, guru dan pentadbir sekolah terhadap pelaksanaan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 12 Tahun 2023 berhubung salah laku buli.

“KPM mempunyai mekanisme yang jelas menerusi ketetapan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) sebagai panduan kepada pentadbir sekolah, antaranya SPI Bilangan 12 Tahun 2023: Pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan SPI Bilangan 7 Tahun 2011: Pelaksanaan SOP 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid,” menurut KPM.

Selain itu, audit keselamatan dilaksanakan di seluruh negara bagi menjamin isu keselamatan ditangani dengan berkesan serta memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) sekolah dipatuhi dengan 1,758 sekolah diaudit setakat 19 Nov lepas.

Di samping itu, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berserta pelaksanaan program sokongan kesihatan mental dan psikososial turut diperkukuh melalui penempatan baharu 523 orang Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah seluruh negara pada 2025.

“KPM memperuntukkan RM3 juta bagi pemasangan CCTV di 200 buah asrama dengan tujuan memantau kawasan berisiko. Projek ini telah siap sepenuhnya pada 19 Nov 2025. 

“Bagi 2026, KPM turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta bagi pemasangan CCTV di 333 sekolah berasrama lain dan pelantikan 600 orang pembantu warden asrama (MyPWA) khususnya bagi membantu pemantauan pada waktu malam,” menurut KPM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan