Ad Banner
 AM > BERITA

Sarawak Kekal Berisiko Tinggi Tibi, Orang Ramai Disaran Jalani Saringan

27/02/2026 09:22 PM

MUKAH, 27 Feb (Bernama) -- Sarawak kekal antara negeri mencatatkan kadar kes tuberkulosis (tibi) yang tinggi walaupun trend penyakit berjangkit itu tidak menunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata secara keseluruhan situasi tibi di Sarawak stabil tanpa peningkatan mendadak, namun masih memerlukan perhatian berterusan kerana kadar kesnya lebih tinggi berbanding beberapa negeri lain. 

Hanifah berkata usaha pengesanan awal dan saringan dalam komuniti perlu diperkukuh bagi mengelakkan penularan penyakit itu, khususnya dalam kalangan ahli keluarga dan kontak rapat pesakit.

Ad Banner
Ad Banner

“Trend tibi di Sarawak tidak menunjukkan peningkatan, tetapi juga belum menurun secara signifikan. Kadar kes masih agak tinggi dan memerlukan usaha berterusan dari segi saringan serta rawatan awal,” katanya, namun tidak mendedahkan angka terkini khusus bagi negeri itu,

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Bazar Ramadan Majlis Daerah Dalat dan Mukah, Medan Ria Setia Raja, di sini hari ini.

Hanifah menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan pemeriksaan di klinik atau hospital sekiranya mengalami gejala seperti batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam terutama pada waktu petang, penurunan berat badan dan hilang selera makan.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih serius sekiranya pesakit mengalami batuk berdarah yang menandakan jangkitan berada pada tahap lebih teruk.

Beliau berkata ahli keluarga, rakan serumah dan individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit tibi digalakkan menjalani saringan termasuk pemeriksaan kahak dan sinar-X dada bagi mengesan jangkitan lebih awal.

Selain itu, orang ramai turut diingatkan supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti memastikan pengudaraan yang baik di dalam rumah kerana tibi mudah merebak di ruang tertutup dan sesak.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga Minggu Epidemiologi ke-6 (ME6/2026), sebanyak 3,161 kes tibi dikesan di seluruh negara dengan Sarawak merekodkan 332 kes, ketiga tertinggi di Malaysia.

Sementara itu, mengenai Program Keselamatan Makanan Bazar Ramadan, Hanifah berkata program berkenaan melambangkan pelaksanaan operasi pemantauan bazar Ramadan di seluruh negara yang kini memasuki tahun keempat, dengan pelbagai inisiatif diperkenalkan setiap tahun bagi meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan.

Beliau berkata pemantauan bersepadu turut meliputi pemeriksaan premis pembekal bahan mentah seperti kilang ais serta premis penyediaan makanan yang dilesenkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan