Ad Banner
 AM > BERITA

Kementerian Pendidikan Tinggi Berhasrat Teruskan Program Dapur Siswa - Zambry

27/02/2026 09:55 PM

NILAI, 27 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhasrat meneruskan program Dapur Siswa dan bank makanan di institusi pengajian tinggi pada masa hadapan sebagai antara inisiatif utama membantu kebajikan pelajar terutama yang kurang berkemampuan.

Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pelaksanaan program itu akan disesuaikan mengikut pendekatan dan keperluan setiap institusi namun matlamatnya kekal untuk memastikan kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan kementerian.

“Ini sebagai keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan siswa siswi kita yang sedang belajar sama ada di universiti mahupun di politeknik sentiasa dapat dilihat dan ditangani dengan sebaik-baiknya.

Ad Banner
Ad Banner

“Kita faham tentang keadaan mereka kerana sebahagian kita juga adalah daripada latar belakang keluarga yang susah ketika kita belajar dahulu,” katanya kepada pemberita selepas Kembara Ramadan dan Iftar Perdana Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Zambry berkata kementeriannya juga turut melancarkan siri jelajah ke kampus universiti dan politeknik bagi meninjau sendiri pelaksanaan program kebajikan serta memahami isu yang dihadapi pelajar.

Dalam pada itu, beliau berkata inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara bersama melibatkan seluruh jentera kerajaan bagi memastikan isu kebajikan pelajar dapat ditangani secara menyeluruh.

“Saya bersama Perdana Menteri dan seluruh barisan kerajaan mengambil langkah-langkah ini bagi memastikan isu kebajikan pelajar dapat kita selesaikan atau sekurang-kurangnya mengurangkan beban yang mereka tanggung,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi pelaksanaan inisiatif Dapur Siswa di bawah KPT.

Pelaksanaan inisiatif makanan percuma dan bank makanan itu adalah antara usaha kerajaan untuk mengurangkan isu pelajar yang memerlukan bantuan makanan, serta memastikan kebajikan mereka terbela sepanjang menuntut ilmu di menara gading.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan