Ad Banner
 AM > BERITA

KPT Tidak Akan Berkompromi Dengan Perlakuan Tidak Beradab Pelajar - Zambry

27/02/2026 09:58 PM

NILAI, 27 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak khususnya pelajar yang melakukan perkara tidak beradab termasuk menghina Islam atau agama lain di Malaysia.

Menterin berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya memandang serius sebarang tindakan sedemikian dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu terlibat selaras dengan undang-undang serta peraturan institusi pengajian tinggi.

“Itu soal prinsip, kita tidak akan berkompromi dengan tindakan seperti itu yang tidak beradab sama sekali, menghina agama apatah lagi perbuatan memijak al-Quran dan sebagainya... kita bukanlah nak memanaskan isu tetapi prinsip asas itu kena tahu.

Ad Banner
Ad Banner

 “Pada masa yang sama, kita harus serahkan langkah atau tindakan seterusnya kepada pihak berkuasa… sekarang, dia (pelajar) berada dalam tahanan polis dan mereka akan maklumkan tindakan seterusnya,” kata beliau kepada pemberita selepas Kembara Ramadan dan Iftar Perdana Universiti Sains Islam Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dan sebelum itu, tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran serta tangkap layar hantaran individu yang didakwa penuntut universiti berkenaan.

Dalam pada itu, Zambry berkata setiap individu termasuk pelajar perlu memahami batas sensitiviti dan memelihara keharmonian yang telah sekian lama terbina.

“Institusi pengajian tinggi bukan milik mana-mana kaum atau kelompok tertentu... ia adalah ruang bersama yang menghimpunkan pelajar daripada pelbagai latar belakang

“… justeru, nilai saling menghormati itu mesti sentiasa dipupuk dan diamalkan,” katanya.

Beliau juga berkata sebarang tindakan yang mencetuskan provokasi atau menyinggung perasaan pihak lain bukan sahaja boleh mengundang kontroversi malah berpotensi menjejaskan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan