Ad Banner
 AM > BERITA

Lebih 2000 Ketua Isi Rumah Berjaya Keluar Status Miskin Di Selangor - Exco

27/02/2026 10:11 PM

SHAH ALAM, 27 Feb (Bernama) -- Seramai 2,233 ketua isi rumah (KIR) telah keluar daripada status miskin setakat ini iaitu penurunan sebanyak 38.35 peratus sekali gus menghampiri sasaran sifar miskin di Selangor menjelang 30 Jun depan. 

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V. Papparaidu berkata berdasarkan data Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024 pada 15 Jan lepas, seramai 5,822 KIR dikenal pasti miskin namun hasil intervensi berfokus serta kerjasama pelbagai pihak jumlah tersebut berjaya dikurangkan kepada 3,589 KIR setakat 20 Feb lepas.

“Daripada 3,589 KIR yang masih miskin, seramai 2,102 merupakan golongan produktif berusia 15 hingga 64 tahun, termasuk 1,422 yang telah bekerja tetapi belum melepasi PGK manakala 589 lagi tidak bekerja dan tiada kemahiran serta 91 tidak bekerja namun berkemahiran. 

Ad Banner
Ad Banner

“Baki 1,487 KIR terdiri daripada golongan tidak produktif termasuk warga emas, manakala 398 KIR adalah berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) yang memerlukan intervensi khusus dan bersasar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Papparaidu berkata bagi memastikan keberkesanan, kerajaan negeri melaksanakan Program Outreach Memangkas Kemiskinan dengan pendekatan turun padang, kaunter bantuan bersepadu, semakan dan pendaftaran sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih), kursus kemahiran serta inisiatif jualan Rahmah. 

Beliau berkata bagi mencapai hasrat sifar miskin kerajaan negeri menggunakan pendekatan bersepadu melibatkan pelbagai agensi pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah (PDT) dan wakil rakyat.

“Kerajaan negeri turut melaksanakan Inisiatif Kesejahteraan MADANI Fasa 1 melibatkan peruntukan RM2.705 juta, disokong dengan tambahan RM5 juta melalui BINGKAS Tambahan (BINGKISAN),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan