Ad Banner
 AM > BERITA

Bazar Ramadan Rahmah Bantu Peniaga Kekal Tawar Juadah RM5 Di Mersing

28/02/2026 11:29 AM

MERSING, 28 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) dilihat dapat membantu peniaga terus menawarkan juadah pada harga berpatutan kepada golongan memerlukan sepanjang Ramadan. 

Tinjauan Bernama di Bazar Ramadan Rahmah Taman Wawasan di sini mendapati inisiatif itu memberi ruang kepada peniaga menyediakan pilihan menu pada harga RM5 dan ke bawah sebagai alternatif mampu milik, walaupun terdapat sedikit pelarasan kos operasi.

Seorang peniaga menu ayam gunting, Aziani Mohd Nordin, 40, berkata beliau mengambil peluang melalui pelaksanaan BRR untuk menyediakan menu Rahmah bagi memastikan lebih ramai pelanggan dapat menikmati juadah berbuka puasa pada harga berpatutan walaupun kenaikan kos bahan mentah. 

Ad Banner
Ad Banner

Walaupun menjual ayam gunting bersaiz standard pada kadar RM10, namun beliau tetap menawarkan harga alternatif RM5 kepada yang kurang berkemampuan. 

"Ayam gunting Rahmah pada harga RM5 dikekalkan dengan tiga keping isi ayam sebagai alternatif mampu milik kepada pelanggan," kata ibu empat anak itu kepada Bernama.

Sejak diperkenalkan pada 27 Mac 2023, program BRR yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara hidup itu kini memasuki tahun keempat pelaksanaannya dan diperluaskan ke 116 lokasi bazar Ramadan di seluruh negara termasuk sembilan lokasi di Johor.

Seorang pelanggan, Ummi Fatini Rashid, 25, berkata ayam gunting sememangnya antara juadah kegemarannya setiap kali berkunjung ke bazar berkenaan.

”Rasanya sedap dan portion (bahagian) pun berbaloi, jadi memang antara menu yang saya akan beli untuk berbuka, tambahan pula harganya lebih murah,” katanya.

Sementara itu pembantu guru, Asiah Jamian, 42, berkata kunjungannya ke bazar Ramadan lebih tertumpu kepada membeli makanan sampingan seperti kuih-muih dan pencuci mulut sambil meluangkan masa bersama anak-anak kerana beliau lebih memilih untuk memasak hidangan utama di rumah sebagai langkah mengawal perbelanjaan harian.

“Harga beberapa menu kegemaran mereka (anak-anak) dilihat naik seperti roti john, kebab dan kuih-muih, jadi kita sebagai pengguna kenalah menetapkan had pembelian bagi mengelakkan perbelanjaan berlebihan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan