Ad Banner
 AM > BERITA

NAFAS, Suria FM Anjur Program Ramadan, Perkukuh Hubungan Komuniti Di Hulu Langat

28/02/2026 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Suria FM menganjurkan program “Sehari Berbakti, Sejiwa Bererti” bersempena Ramadan di Surau Al Munir, Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor semalam.

Program berkonsepkan khidmat komuniti itu menghimpunkan staf NAFAS, ahli peladang, penduduk setempat serta wakil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Hulu Langat dalam suasana kebersamaan dan pengukuhan silaturahim.

NAFAS dalam kenyataan memaklumkan pendekatan turun padang bersempena dengan Ramadan itu membuka ruang interaksi secara langsung antara organisasi peladang dan masyarakat selain memperkukuh hubungan bersama-sama ahli peladang di peringkat kawasan.

Ad Banner
Ad Banner

“Inisiatif tersebut turut menjadi platform untuk memahami keperluan komuniti serta memperkukuh peranan NAFAS dalam menyokong pembangunan sektor pertanian di peringkat akar umbi,” menurut kenyataan itu.

Antara aktiviti dijalankan ialah gotong-royong membersihkan surau, jualan produk Peladang, program Temu Peladang dan rewang penyediaan bubur lambuk bersama dengan komuniti setempat.

Bubur lambuk yang disediakan secara bergotong-royong diagihkan kepada penduduk sekitar dengan penyertaan barisan penyampai Suria FM di pekarangan surau dan bazar berhampiran.

Program itu turut menampilkan sesi Temu Peladang NAFAS bersama dengan PPK Hulu Langat sebagai ruang dialog dua hala bagi membincangkan isu dan perkembangan semasa sektor pertanian setempat.

Hadir sama memeriahkan majlis Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan, Ahli Dewan Undangan Negeri Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz, Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Arriffin dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Hulu Langat Mohd Yusof Harun.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan, NAFAS memaklumkan sumbangan duit raya turut disampaikan kepada 25 anak yatim yang diraikan dan 225 kanak-kanak yang hadir memeriahkan program itu. 

“Turut disumbangkan peruntukan RM8,000 kepada pihak surau bagi menyokong pelaksanaan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di kawasan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Menurut NAFAS, program seumpama itu akan terus diperkasa sebagai inisiatif pembangunan komuniti dan pengukuhan jaringan bersama ahli peladang dalam usaha memacu sektor pertanian negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan