KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Sebuah gabungan sembilan organisasi masyarakat sivil (CSO) menggesa kesemua 222 Ahli Parlimen dan 58 Senator agar menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan mengenai Perkara 43, bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Menerusi kenyataan bersama hari ini, kumpulan berkenaan menolak dakwaan bahawa had itu akan mencabuli kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dan menegaskan bahawa pindaan tersebut adalah berperlembagaan memandangkan Perkara 43 membenarkan sekatan tertentu terhadap kelayakan bagi memegang jawatan tertinggi negara.
“Perkara 43(7) sedia ada dengan tegas menetapkan bahawa walaupun terdapat apa-apa dalam Perkara ini, seseorang yang menjadi warganegara melalui naturalisasi atau pendaftaran di bawah Perkara 17 tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa terdapat empat manfaat utama bagi reformasi ini, iaitu memaksa pembaharuan generasi dalam kepimpinan, “mendisiplinkan” politik dengan menumpukan pada matlamat dasar jangka panjang berbanding strategi pilihan raya jangka pendek, mengurangkan tumpuan kuasa dan mengurangkan ketidakstabilan politik.
Gabungan itu turut menggesa kerajaan membenarkan penambahbaikan RUU berkenaan di peringkat jawatankuasa kerana keterbukaan kerajaan berkaitan perkara ini akan menghapuskan keperluan untuk merujuknya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.
“Kajian penambahbaikan pertama adalah berkaitan cadangan penyisipan Perkara 43(4D)(b), yang membolehkan seorang Perdana Menteri kekal sebagai Perdana Menteri sementara selepas pembubaran Parlimen.
“Kami bersetuju dengan rasional di sebalik klausa ini tetapi mencadangkan agar kelonggaran berakhir apabila Parlimen bersidang semula selepas pilihan raya... ini bermakna walaupun Parlimen tidak mencapai persetujuan mengenai Perdana Menteri baharu, Perdana Menteri sementara sepatutnya digantikan dengan seorang Perdana Menteri sementara yang lain,” menurut kenyataan itu.
Menurut gabungan itu, penambahbaikan kedua adalah berkaitan kemungkinan situasi seorang Perdana Menteri yang memenangi dua pilihan raya berturut-turut tidak dapat menjalankan dua penggal penuh lima tahun kerana penggalnya bermula sebelum Parlimen baharu bersidang semula.
“Situasi ini menimbulkan kerumitan yang tidak perlu kerana Perdana Menteri yang cukup tempohnya terpaksa membubarkan Parlimen lebih awal atau menyerahkan tampuk kepimpinan beberapa bulan sebelum Parlimen dibubarkan secara automatik.
“Penambahbaikan ini akan lebih sesuai apabila Akta Parlimen Tempoh Tetap diperkenal pada masa akan datang tanpa memerlukan pindaan Perlembagaan yang lain,” katanya.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Rasuah Busters, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor serta CSO Platform for Reforms.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial