MACHANG, 28 Feb (Bernama) -- Belasan ribu rakyat Malaysia masih tercicir daripada memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan (MyKad) akibat isu perkahwinan tidak didaftarkan, ibu bapa dipenjara, serta salah faham kononnya proses pendaftaran menelan kos tinggi.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata masalah keluarga yang rumit menyumbang kepada purata 12,000 hingga 13,000 kes pendaftaran lewat setiap tahun.
“Contohnya, seorang bayi lahir tetapi bapa dipenjara, atau ibu bapa hilang tanpa berita. Ada juga kes kerana perkahwinan tidak didaftarkan, menyebabkan ibu bingung untuk mendaftarkan anak.
“Malah, sesetengah ibu bapa tidak mendaftar anak kerana salah sangka ia memerlukan bayaran, sedangkan pendaftaran adalah percuma,” katanya selepas program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Kampung Simpul Belubang di sini, hari ini.
Bagi menggalakkan lebih ramai golongan terpinggir tampil mendaftarkan diri, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan memberikan pengecualian denda bagi kes pendaftaran lewat berkenaan.
"Kita abaikan caj dan tiada denda dikenakan. Kita fokus selesaikan masalah ini sebagai kes istimewa,” katanya.
Untuk memastikan golongan terpinggir turut memiliki dokumen pengenalan diri, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini turun padang bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak lagi menunggu rakyat di kaunter.
Menerusi inisiatif bersama NGO Jejak Jalanan, JPN berjaya menamatkan penantian dua generasi sebuah keluarga di Kelantan, melibatkan sembilan individu termasuk Nur Fauziah Muhammad, 32, empat anaknya dan empat adik-beradik, dengan semua menerima sijil kelahiran, MyKid, dan MyKad dalam tempoh kurang sebulan.
Selain itu, katanya kerajaan merancang penyelesaian jangka panjang bagi remaja yang tercicir sekolah kerana tiada MyKad.
Beliau memaklumkan laluan khas program TVET akan disediakan untuk golongan ini walaupun mereka tiada sijil persekolahan, membolehkan mereka memperoleh kemahiran menjahit, memasak dan lain-lain bagi menjamin masa depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial