Ad Banner
 AM > BERITA

KPKT Akan Bentang Draf Garis Panduan Perancangan RIBI Kepada Jemaah Menteri

02/03/2026 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah menyediakan Draf Garis Panduan Perancangan (GPP) Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang akan dibentangkan untuk pertimbangan Mesyuarat Jemaah Menteri.

Timbalan Menterinya Datuk Aiman Athirah Sabu berkata draf GPP tersebut adalah bagi menggantikan Garis Panduan Perancangan Tokong, Kuil, Gereja dan Gurdwara yang diguna pakai sejak 2009.

“Peranan KPKT hanya terhad kepada menimbang dan melulus permohonan bantuan kewangan bagi Inisiatif Penyelenggaraan RIBI Seluruh Negara berdasarkan syarat kelayakan ditetapkan dalam Garis Panduan Inisiatif Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam Seluruh Negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPKT di Dewan Negara hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata KPKT melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengambil tindakan penguatkuasaan secara berterusan dan menyeluruh bagi memastikan isu pembangunan dan penggunaan tanah tanpa kebenaran dapat dikawal dengan berkesan.

Beliau memaklumkan sebanyak 65 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh PBT dan 124 tindakan penguatkuasaan diambil, merangkumi notis amaran, kompaun, diarahkan berpindah dan dirobohkan pada tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, Aiman Athirah berkata kerajaan sentiasa menilai dan meneliti kesesuaian definisi rumah mampu milik (RMM) agar ia kekal relevan terutamanya dengan tahap pendapatan sebenar rakyat, khususnya di bandar besar yang berdepan kos sara hidup dan harga tanah lebih tinggi.

“Penetapan harga RMM akan dilaksanakan dalam konteks yang lebih setempat, di mana harga ditentukan berdasarkan ciri lokaliti masing-masing, tahap permintaan pasaran serta kemampuan penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu bertujuan memastikan penyediaan perumahan yang ditawarkan benar-benar selari dengan keperluan dan keupayaan kewangan rakyat di kawasan berkenaan, termasuk di bandar-bandar utama.

Katanya RMM baharu akan ditakrifkan secara lebih holistik dan setempat, agar setiap unit perumahan yang disediakan bukan sahaja mampu dimiliki, tetapi layak, selesa dan bermaruah untuk didiami selaras dengan Dasar Rumah Negara yang baharu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan