Ad Banner
 AM > BERITA

Kementerian Komunikasi Ambil Tindakan Melalui Instrumen Subsidiari Terhadap Platform Media Sosial

03/03/2026 02:06 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dalam proses mengambil beberapa tindakan melalui instrumen subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] dan tindakan perundangan terhadap platform media sosial berhubung kandungan deepfake.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata masalah kandungan deepfake yang berleluasa kebanyakannya dibantu oleh platform media sosial.

“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, kandungan ini disebarkan tanpa sebarang teks, kebiasaannya bermaksud ia diletak sebagai iklan dan iklan ini dibayar scammer kepada platform untuk memangsakan rakyat Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau menjawab soalan Senator Tiew Way Keng mengenai status pelaksanaan pendekatan pelesenan dan kebertanggungjawaban platform besar dan bagaimana perlindungan kanak-kanak dan keluarga dipastikan.

Fahmi berkata usaha yang telah dan sedang dijalankan termasuk tindakan penguatkuasaan selaras peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan Akta 866 membolehkan keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak, keluarga, dan golongan rentan dapat diperkukuh dan direalisasikan.

Beliau berkata kerajaan menyedari kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake serta penyebaran fitnah digital yang berpotensi menjejaskan keselamatan awam, ketenteraman sosial dan maruah individu.

Katanya dalam menangani perkara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan proaktif terhadap kandungan disebarkan di ruangan media sosial yang melibatkan kepentingan awam, jenayah, salah guna, ancaman dan provokasi.

Fahmi berkata kerjasama dengan platform media sosial dan agensi penguat kuasa lain turut giat dijalankan bagi menangani penyebaran kandungan memudaratkan dalam talian yang dijana oleh AI.

“Melalui pelaksanaan instrumen subsidiari, sekiranya kandungan deepfake masih berleluasa selepas instrumen ini berkuat kuasa maka tindakan penalti kompaun boleh dikenakan bukan kepada pengguna tetapi platform itu sendiri sebagai pengajaran,” katanya.

Rangka kerja pelesenan dikuatkuasa mulai 1 Jan 2025, dan bermula 1 Jan 2026, pemberi perkhidmatan pesanan internet dan media sosial dengan lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia adalah disifatkan berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Seksyen 46A, Akta 588 melalui pengetepian formaliti pendaftaran atau deeming provision.

Tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh MCMC selaras dengan peruntukan Akta 588 dan Akta 866 yang telah berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026 serta instrumen kawal selia yang berkaitan sekiranya pemberi perkhidmatan tersebut gagal mematuhi arahan atau kewajipan dikenakan di bawah akta-akta tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan