Ad Banner
 AM > BERITA

80 Peratus Daripada 6,481 Kandungan Lucah Diturunkan - Fahmi

03/03/2026 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengemukakan permohonan penurunan 6,481 kandungan bersifat lucah kepada penyedia platform dalam talian sejak 1 Jan 2022 sehingga Ahad lepas.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sebanyak 5,203 atau 80 peratus daripada jumlah kandungan itu telah diturunkan penyedia platform berkenaan.

“Tindakan penurunan kandungan oleh pemberi perkhidmatan ini dibuat berdasarkan aduan dikemukakan, syarat-syarat garis panduan komuniti pemberi perkhidmatan dan aplikasi undang-undang tempatan yang berkuat kuasa,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda yang ingin tahu langkah baharu kerajaan untuk menyekat laman web pornografi yang terus berleluasa.

Fahmi berkata bagi tempoh sama, sebanyak 4,380 laman sesawang bersifat lucah disekat oleh penyedia platform berikutan permohonan daripada MCMC.

Beliau berkata selari dengan keperluan keselamatan dalam talian secara menyeluruh, kerajaan menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Talian (Akta 866) sejak 1 Jan 2026, yang antaranya mewajibkan pemberi perkhidmatan aplikasi dan pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dalam mengawal selia kandungan memudaratkan dalam talian.

“Sejak penguatkuasaan Akta 866, MCMC mengemukakan permohonan penurunan enam kandungan lucah dan kesemua kandungan tersebut telah diturunkan oleh pemberi perkhidmatan,” katanya.

Sebagai usaha meningkatkan kesedaran awam, beliau berkata Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di 9,383 sekolah dan institusi pendidikan tinggi (IPT) melibatkan 472,066 murid dan pelajar, manakala 554 program dilaksanakan kepada masyarakat umum melibatkan 426,381 peserta di seluruh negara sejak 2025 sehingga 1 Mac lepas.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai sasaran untuk menoktahkan akses ke laman web pornografi dalam negara ini, Fahmi berkata kerajaan berhasrat melaksanakan sekatan itu dan sedang mengenal pasti mekanisme terbaik bagi tindakan tersebut.

“Cara terbaik dalam keadaan tertentu, seperti kita ada undang-undang baharu untuk menangkap dan mendakwa pihak tertentu yang membangunkan aplikasi atau laman sesawang ini di mahkamah. Bagi mereka yang membangunkan laman sesawang di luar negara, kita perlu kerjasama negara asing, jadi ada beberapa kekangan.

“Jadi, cara terbaik adalah kita menjadi contoh kepada keluarga, masyarakat dan anggota parti kita supaya elak daripada menormalisasikan budaya atau menonton laman sesawang berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan