KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang mengucapkan selamat menyambut Chap Goh Mei kepada masyarakat Tionghua di negara ini, sambil menyeru rakyat untuk terus memelihara perpaduan dan keharmonian antara kaum.
Beliau menerusi hantaran di Facebook berkata Chap Goh Mei bukan sekadar penutup sambutan Tahun Baharu Cina, sebaliknya melambangkan harapan, kasih sayang dan kebersamaan.
Aaron berkata di Malaysia, setiap perayaan membuka ruang untuk masyarakat lebih mendekatkan hati, merapatkan jurang serta mengukuhkan nilai kekeluargaan merentasi kaum dan agama.
“Kepelbagaian yang kita miliki adalah aset negara yang tidak ternilai dan mesti dipertahankan dengan kebijaksanaan serta keikhlasan. Sensitiviti agama dan kaum jangan sekali-kali dipolemikkan atau dijadikan bahan perpecahan,” katanya.
Aaron berkata usaha mengekalkan keharmonian memerlukan rakyat sentiasa mencari titik persamaan selain mengutamakan sikap saling memahami dan menghormati.
Ini termasuk mengamalkan sikap memahami sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum bersuara dan menghormati pihak lain sebelum bertindak.
“Negara yang bersatu padu ialah negara yang kuat, stabil dan diyakini. Perpaduan adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial