Ad Banner
 AM > BERITA

Amanat PM Di NSRC: Perhebat Kesedaran Awam Tangani Jenayah Penipuan

03/03/2026 06:44 PM

CYBERJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan usaha meningkatkan kesedaran awam antara mesej utama membanteras jenayah penipuan dalam talian, selain tindakan penguatkuasaan dan pemantapan operasi melalui Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata itu adalah amanat ringkas Perdana Menteri yang disampaikan kepada petugas NSRC ketika melawat pusat operasi yang terletak di aras 17 Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau berkata Perdana Menteri mahu program kesedaran awam dipergiatkan bagi memastikan rakyat tidak mudah terjerumus menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Ad Banner
Ad Banner

“Perdana Menteri menekankan tentang peri pentingnya program meningkatkan kesedaran agar kita jangan sampai terlibat (jadi mangsa penipuan) yang kadang-kadang didorong oleh sikap tamak ataupun tawaran-tawaran yang dianggap sebagai sangat lumayan hasilnya kalau ikut serta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran pusat operasi NSRC oleh Perdana Menteri di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata kerajaan bukan sahaja memperkukuh operasi dan koordinasi antara agensi, malah turut mengambil langkah meminda peruntukan undang-undang bagi mengekang jenayah siber.

Beliau memaklumkan pindaan undang-undang melalui Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang berkuat kuasa sejak Oktober 2024 membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang merelakan akaun mereka digunakan sebagai instrumen kewangan atau pembayaran oleh sindiket penipuan.

“Sebelum ini, pemilik akaun yang menumpangkan akaun mereka sukar diambil tindakan. Kini, jika seseorang itu dengan pengetahuan sendiri membenarkan akaunnya digunakan, ia menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang,” katanya.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata kerajaan memperkukuh keupayaan NSRC dengan penambahan kakitangan sebanyak 82 orang yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Beliau berkata peningkatan jumlah aduan dan panggilan yang diterima menunjukkan keyakinan awam semakin meningkat, namun menegaskan semua usaha itu tidak bermakna jika tahap kesedaran masyarakat tidak berubah.

“Sebab itu, kami perlu menggembleng seluruh potensi dan sumber, termasuk Bahagian Jenayah Komersial Bukit Aman, Bank Negara Malaysia, MCMC serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC),” katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata orang ramai perlu segera menghubungi talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan.

“Lagi cepat mangsa menelefon, insya-Allah, lebih cepat pihak bank boleh sekat dana daripada dicuri,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan