Ad Banner
 AM > BERITA

KPT Perinci Konsortium Penyelidikan Malaysia-Indonesia, Perkukuh Kerjasama Akademik Serantau

03/03/2026 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memperincikan usaha menubuhkan konsortium penyelidikan antara Malaysia dan Indonesia sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama akademik di peringkat serantau.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata cadangan itu merupakan hasil lawatan kerja rasmi beliau ke negara jiran itu bulan lepas yang bakal melibatkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang kritikal.

“Kita telah mula membincangkan satu konsortium penyelidikan Malaysia-Indonesia yang dapat dikembangkan melalui IPTA yang mempunyai bidang tujahan seperti sekuriti makanan, ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, kecerdasan buatan, semikonduktor dan dron,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPT di Dewan Negara hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata di peringkat KPT, pihaknya turut mengadakan usaha sama melalui mesyuarat tahunan dengan beberapa negara terpilih antaranya kerjasama bersama Turkiye yang diadakan setiap tahun, manakala terbaharu China turut bersetuju mengadakan mesyuarat tahunan antara kedua-dua kementerian bagi meneroka peluang kerjasama dalam bentuk konsortium seperti yang dinyatakan.

Dalam perkembangan lain, Zambry memaklumkan Politeknik Balik Pulau di Pulau Pinang dan Politeknik Sultanah Bahiyah di Kulim, Kedah diarahkan menjalani proses penjenamaan semula fungsi bagi menumpukan kepada bidang semikonduktor.

Beliau berkata langkah itu bertujuan menyokong ekosistem teknologi tinggi sedia ada, termasuk makmal penyelidikan semikonduktor termaju di Universiti Sains Malaysia (USM) yang berasaskan Intel 18A.

“Makmal di USM ini merupakan satu-satunya program yang dibenarkan beroperasi di luar ibu pejabat Intel di Amerika Syarikat, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi syarikat gergasi itu terhadap sistem pendidikan tinggi negara,” katanya.

Zambry berkata penjenamaan semula fungsi itu juga bagi memastikan kurikulum di kedua-dua politeknik tersebut selari dengan keperluan ekologi industri semikonduktor yang berkembang pesat di wilayah utara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan