Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

TI-M Desak Pembaharuan Praktikal, Berasaskan Peraturan Terhadap Kehadiran Parlimen

04/03/2026 12:45 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa reformasi praktikal dan berasaskan peraturan bagi memperkukuh akauntabiliti kehadiran di Parlimen, susulan kegagalan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan di Dewan Rakyat pada Isnin, dengan kekurangan dua undi.

Presiden TI-M Raymon Ram dalam kenyataan hari ini berkata reformasi itu perlu bagi meningkatkan ketelusan kerana ia menghalang salah laku, memperkukuh pengawasan demokrasi dan memulihkan keyakinan rakyat.

“Sebab itu, TI-M mencadangkan supaya rekod kehadiran dan cuti diterbitkan setiap hari semasa persidangan Ahli Parlimen, dikategorikan sebagai ‘Hadir, Tidak Hadir Dengan Permohonan Cuti atau Tidak Hadir Tanpa Permohonan Cuti’ dan dijadikan boleh diakses oleh orang ramai dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Ad Banner
Ad Banner

“TI-M juga menggesa Parlimen untuk secara rasmi mengiktiraf kategori undian tertentu sebagai memerlukan jangkaan kehadiran yang lebih tinggi termasuk pindaan Perlembagaan, undian Perbekalan dan Belanjawan, usul percaya atau tidak percaya serta reformasi struktur tadbir urus. Bagi undian sedemikian, alasan bertulis bagi ketidakhadiran hendaklah difailkan dan dijadikan tersedia kepada umum,” katanya.

Raymon berkata sebagai tambahan, organisasi itu juga mengesyorkan pengenalan implikasi yang berkadar, berasaskan peraturan dan konsisten terhadap ketidakhadiran tanpa justifikasi termasuk penjelasan awam mandatori, rujukan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan jika bersesuaian, potongan kewangan berstruktur selaras dengan rangka kerja perundangan dan pentadbiran yang terpakai serta tindakan disiplin di peringkat parti.

Beliau seterusnya menggesa supaya Perkara 52(1) Perlembagaan Persekutuan diterapkan secara konsisten dalam kes ketidakhadiran kronik, dengan menegaskan bahawa apabila seseorang ahli tidak hadir pada setiap persidangan selama enam bulan tanpa permohonan cuti, Parlimen seharusnya menganggap peruntukan itu sebagai perlindungan Perlembagaan dan bukannya sekadar langkah simbolik.

Oleh itu, Raymon berkata ketidakhadiran Ahli Parlimen semasa undian penting negara tidak boleh dinormalkan kerana Parlimen tidak boleh menuntut kepercayaan rakyat sambil bertolak ansur terhadap ketidakhadiran yang boleh dielakkan semasa keputusan yang membentuk rangka kerja Perlembagaan dan tadbir urus negara.

“Reformasi institusi memerlukan lebih daripada sekadar pembentangan perundangan. Ia memerlukan wakil rakyat yang dipilih melaksanakan mandat mereka secara bertanggungjawab, telus dan konsisten.

“TI-M menggesa Parlimen memperkukuh mekanisme ketelusan kehadiran dan semua Ahli Parlimen, baik kerajaan mahupun pembangkang untuk menunjukkan kesungguhan dalam menegakkan tanggungjawab demokrasi. Integriti demokrasi Malaysia bergantung bukan sahaja pada undang-undang yang diluluskan tetapi juga pada komitmen mereka yang diamanahkan untuk meluluskannya,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan