Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bentang Semula Pada Jun Beri Ruang Perhalusi RUU Had Tempoh Jawatan PM - Pakar

06/03/2026 11:26 AM

Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Komitmen kerajaan untuk membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun pada sidang Parlimen Jun depan membuktikan iltizam tinggi pentadbiran negara untuk menambah baik tatakelola dan reformasi institusi.

Penganalisis politik dan pakar perlembagaan berpandangan kegagalan rang undang-undang itu memperoleh sokongan dua pertiga pada Isnin lepas bukan titik penamat, sebaliknya satu peluang keemasan untuk memperhalusi kelompangan teknikal serta membina sokongan dwipartisan sebelum pembentangan semula. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pakar Perang Saraf, Penganalisis Keselamatan dan Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata pembentangan awal rang undang-undang itu mencerminkan keberanian kerajaan dalam memperkukuh tatakelola negara dan mengelakkan penguasaan kuasa jangka panjang oleh pemimpin tertentu.

“Pembentangan rang undang-undang ini menunjukkan elemen keterbukaan kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan hala dan arah tuju tatakelola negara berjalan dengan lebih baik.

Beliau berkata tempoh sebelum pembentangan semula membuka ruang perbincangan lebih meluas antara kerajaan, pembangkang dan masyarakat untuk memperhalusi draf rang undang-undang itu, sekali gus membina pendekatan reformasi institusi yang lebih matang dan komprehensif.

Berkongsi pandangan sama, Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata langkah kerajaan membawa pindaan itu ke Parlimen sudah menunjukkan keberanian politik Kerajaan MADANI kerana reformasi itu menyentuh secara langsung soal kuasa eksekutif.

“Walaupun belum diluluskan, ia memberi isyarat bahawa kerajaan bersedia membuka ruang reformasi institusi. Penangguhan ini wajar dijadikan fasa rundingan dwipartisan bagi memperjelas mekanisme pelaksanaan rang undang-undang, agar potensi untuk lulus pada pembentangan semula lebih tinggi,” katanya.

Awang Azman turut mengingatkan blok pembangkang bahawa pendirian berkecuali berisiko menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pengundi, khususnya pengundi atas pagar.

“Jika pembangkang terus berkecuali dalam isu yang jelas bersifat reformasi dan prorakyat, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa mereka tidak konsisten dengan agenda pembaharuan. Pengundi atas pagar lazimnya menilai sikap ini sebagai kurang komited terhadap reformasi sistem politik,” katanya. 

Sementara itu, dari sudut perundangan, peguam Perlembagaan GK Ganesan Kasinathan menyifatkan langkah kerajaan mengusulkan pindaan itu sebagai tindakan berani kerana ia melibatkan had kuasa eksekutif.

Namun, beliau berkata tempoh sebelum pembentangan semula perlu dimanfaatkan untuk membetulkan kelompangan teknikal dalam draf, khususnya mekanisme pengiraan tempoh perkhidmatan.

“Rang Undang-Undang ini tidak menyatakan dengan jelas cara mengira tempoh yang sangat singkat, contohnya  beberapa hari semasa krisis atau apa yang berlaku jika tempoh 10 tahun dicapai di pertengahan penggal Parlimen. Jurang ini mewujudkan ruang untuk perdebatan dan penyalahgunaan melalui ‘permainan’ politik seperti ‘lebih masa’,” katanya.

Mengulas polemik bahawa cadangan pindaan itu kononnya akan mengehadkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, peguam itu menyifatkan hujah berkenaan tidak berasas.

“Ada yang mengatakan ia menjejaskan kebebasan Seri Paduka Baginda untuk memilih mana-mana orang yang mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat. Hujah ini kebudak-budakan. Jika Perlembagaan mengehadkan tempoh jawatan PM, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membatalkannya.

“Bagaimanapun, pindaan kecil yang dirangka dengan tepat boleh menetapkan syarat seperti umur, kewarganegaraan atau tempoh maksimum tahun, tanpa mengambil alih peranan Agong. Satu klausa ringkas yang mengesahkan bahawa budi bicara Agong terus kekal, kecuali tiada sesiapa yang melebihi 10 tahun boleh dilantik, akan meredakan kebimbangan ini,” katanya.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat selepas undi belah bahagian menyaksikan 146 Ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi. 

Sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya dua pertiga, iaitu 148 sokongan Ahli Parlimen untuk diluluskan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan