Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kaedah Pembayaran Tanpa Tunai Semakin Diterima Di Perlis

06/03/2026 11:55 AM

KANGAR, 6 Mac (Bernama) -- Kaedah pembayaran tanpa tunai atau cashless semakin menjadi budaya dalam kalangan pengunjung dan peniaga bazar Ramadan di Perlis apabila lebih 80 peratus peniaga kini menyediakan kemudahan itu bagi memudahkan urus niaga.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Affendi Rajini Kanth berkata tinjauan awal pihaknya mendapati majoriti peniaga bazar Ramadan di bawah pengendalian majlis itu menyediakan pilihan pembayaran tanpa tunai selain transaksi tunai.

"Perkembangan itu satu petanda positif kerana kaedah berkenaan bukan sahaja memudahkan peniaga, malah membantu pembeli membuat pembayaran dengan lebih pantas dan teratur.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Walaupun ada transaksi tunai, kebanyakan peniaga lebih suka cashless sebab tidak perlu menyediakan baki wang dan urusan menjadi lebih mudah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Setulus Kasih Seikhlas Budi Bersama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail anjuran Yayasan Kebajikan Perlis (YKPs), di sini.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada kira-kira 60 kanak-kanak asnaf serta empat Orang Kurang Upaya (OKU).

Affendi berkata kemudahan itu diterima baik oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas yang dilihat semakin mahir menggunakan aplikasi pembayaran digital melalui imbasan kod QR.

“Orang pergi bazar pun senang, tak perlu bawa banyak duit tunai. Hanya imbas dan bayar, kemudian boleh semak semula perbelanjaan dalam akaun bank masing-masing,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata MPK berharap pembayaran tanpa tunai itu dapat diperluas penggunaannya di bazar jualan sebelah malam, dan pihaknya merancang penganjuran bazar malam mega di Kangar dalam masa terdekat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan