Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Islam Ajar Sikap Simpati Tanpa Beza Fahaman, Agama - Ahmad Zahid

06/03/2026 11:03 PM

MELAKA, 6 Mac (Bernama) -- Islam tidak mengajar umatnya membezakan rasa simpati terhadap mana-mana pihak walaupun berbeza fahaman mazhab mahupun agama, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata tindakan Malaysia menyuarakan simpati kepada negara Islam yang diserang di Timur Tengah juga bukannya satu sikap untuk menentang kuasa-kuasa besar.

“Sebagai umat Islam apa pun mazhab yang kita pegang, kita harus bersimpati bukan sahaja apabila sesebuah negara diserang tetapi juga apabila pemimpin utamanya dibunuh.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Ini sesuatu yang harus ditentang oleh kita. Takkanlah kita tidak boleh menyuarakan rasa simpati kita kepada negara yang seagama dengan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Iftar Jamaie Mega Kerajaan Negeri Melaka yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama kira-kira 3,000 tetamu di Dataran Pusat Islam Masjid Al-Azim, di Bukit Palah di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata walaupun Malaysia mempunyai majoriti penduduk beragama Islam negara ini tidak pernah mengambil pendirian untuk membenci agama lain.

“Bersyukurlah dengan kebersamaan yang ada di negara kita ini. Jagalah keamanan, jagalah keharmonian, jagalah perbedaan agama, bahasa dan kebudayaan di bulan Ramadan ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyertai hampir 1,000 umat Islam menunaikan solat isyak dan tarawih di Masjid Salmah Khamis di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah di sini malam ini, sempena Majlis Santunan Kasih Ramadan, Solat Tarawih dan Moreh Kerajaan Negeri Melaka.

Selepas solat, beliau meluangkan masa beramah mesra dengan jemaah serta menikmati jamuan moreh bersama penduduk setempat di pekarangan masjid berkenaan.

Beliau turut meraikan majlis ulang tahun ke-14 Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka bersama 286 pelajar tahfiz yang turut hadir memeriahkan program berkenaan.

Program itu merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan di samping merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan