Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perubahan Jadual Laluan Putrajaya Pada 7 Hingga 8 Mac - Rapid Rail

07/03/2026 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Terdapat perubahan pada jadual operasi tren terakhir Laluan Putrajaya pada hari ini dan esok bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih susulan insiden kecurian kabel bekalan kuasa yang menjejaskan operasi perkhidmatan, menurut Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail).

Dalam kenyataan hari ini Rapid Rail memaklumkan, tren terakhir dari Stesen Putrajaya Sentral menghala ke Kwasa Damansara, iaitu pada 11.35 malam ini dan 11.05 malam esok akan ditamatkan di Stesen Metro Prima.

Bagi memastikan perjalanan penumpang dapat diteruskan, perkhidmatan bas percuma akan disediakan dari Stesen Metro Prima ke stesen-stesen seterusnya sehingga ke Stesen Kwasa Damansara dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Selain itu, penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke Kwasa Damansara juga boleh menggunakan Laluan Kajang sebagai laluan alternatif," menurut kenyataan itu. 

Dalam pada itu, Rapid Rail memaklumkan perkhidmatan tren dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral kekal beroperasi seperti biasa tanpa sebarang perubahan.

Menurut Rapid Rail, langkah itu diambil bagi mempercepat proses pemulihan infrastruktur yang terjejas supaya operasi perkhidmatan Laluan Putrajaya dapat kembali berjalan seperti biasa dalam tempoh terdekat.

Sejak insiden kecurian kabel dikesan pada 3 Mac lepas, katanya pasukan teknikal Rapid Rail telah digerakkan sepenuhnya untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang terjejas bagi memastikan perkhidmatan dapat dipulihkan dengan selamat dan stabil.

"Bagi mempercepat kerja baik pulih, tempoh kejuruteraan pada waktu malam Sabtu dan Ahad akan dipanjangkan bagi memberikan ruang tambahan kepada pasukan teknikal untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan semula kabel, pengujian sistem serta pemeriksaan keselamatan pada infrastruktur yang terlibat," menurut kenyataan itu.

Penumpang dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan melalui saluran media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan