KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) menzahirkan sokongan terhadap pendirian Sepanyol yang menolak "tindakan ketenteraan unilateral” terhadap Iran dan memuji kerajaan itu kerana menegakkan undang-undang antarabangsa.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa PKR Dr Maszlee Malik berkata Sepanyol di bawah pimpinan Perdana Menteri Pedro Sánchez telah mengambil pendirian tegas dengan mengecam tindakan ketenteraan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran, yang disifatkan tidak berasas serta melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Sepanyol kini bukan lagi sekadar pemerhati yang prihatin, malah tampil sebagai pembela berprinsp terhadap aturan antarabangsa yang berasaskan peraturan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Maszlee berkata pendirian tegas kerajaan Sepanyol mencerminkan komitmen negara itu terhadap prinsip kedaulatan serta pematuhan undang-undang antarabangsa.
Beliau turut memuji keputusan Sepanyol yang enggan membenarkan AS menggunakan pangkalan dan kemudahan wilayahnya bagi operasi ketenteraan yang berkaitan dengan konflik terbabit, di samping menyifatkan langkah itu sebagai pengukuhan kedaulatan negara.
Menurut Maszlee, tindakan terbabit menghantar isyarat jelas bahawa sesebuah negara tidak seharusnya dijadikan platform untuk melancarkan operasi ketenteraan yang boleh meningkatkan konflik, sebaliknya perlu berperanan sebagai penjaga keamanan dan kestabilan.
Beliau berkata Sepanyol turut menyeru agar semua pihak menahan diri dan menggesa rundingan segera dimulakan bagi mengelak ketegangan lebih buruk di Timur Tengah.
“Pendekatan Sepanyol itu memperlihatkan betapa pentingnya diplomasi dalam menyelesaikan pertikaian antarabangsa,” katanya.
Menurut Maszlee, situasi berkenaan turut menekankan keperluan komuniti antarabangsa untuk mendukung multilateralisme dan tatanan antarabangsa berasaskan peraturan bagi mengekalkan kestabilan sejagat.
Maszlee turut menyeru masyarakat antarabangsa menyokong usaha gencatan senjata segera serta mengembalikan rundingan di bawah pengawasan PBB.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial