KUCHING, 7 Mac (Bernama) -- Isu pendidikan dan kesihatan antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 2 Mac lepas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pada mesyuarat yang turut dihadiri oleh wakil kerajaan negeri Sarawak dan Sabah itu, beberapa perkara juga telah dipersetujui.
Beliau berkata perkara yang dipersetujui itu belum boleh diumumkan kerana harus dibawa dan diluluskan pada mesyuarat lebih tinggi yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim nanti.
“Mesyuarat (MTPMA63) ini hanya peringkat teknikal dan perkara dipersetujui akan kita bawa ke peringkat tertinggi untuk pengesahan. Masa itu baru saya boleh umum.
“Mesyuarat (bersama Perdana Menteri) belum ada tarikh lagi tetapi biasanya kita akan buat dua kali setahun. Jadi diharap kita akan dapat adakan secepat mungkin, antara Mei atau Jun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan zakat dan pek makanan di sini, hari ini.
Pada 2 Mac lepas, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 telah berlangsung di Bangunan Parlimen dan dipengerusikan Fadillah.
Mesyuarat tersebut bertujuan mendapatkan maklum balas daripada kementerian dan agensi Persekutuan serta Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak berkaitan semua perkara yang masih belum selesai, termasuk hala tuju yang boleh diambil berhubung isu dibangkitkan.
Mesyuarat itu menyaksikan kerajaan Persekutuan diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud bersama beberapa menteri Persekutuan lain.
Sementara itu, kerajaan Sarawak diwakili ketiga-tiga Timbalan Premier iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Hui Hian.
Kerajaan Sabah juga diwakili ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial