Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ops Pantau: 532 Kompaun Dikeluarkan Berjumlah Lebih RM143,000 - Fuziah 

07/03/2026 10:04 PM

KUANTAN, 7 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengeluarkan sebanyak 532 kompaun serta-merta melibatkan pelbagai kesalahan berjumlah lebih RM143,000 sepanjang pelaksanaan Ops Pantau di seluruh negara setakat semalam.  

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Dr Fuziah Salleh berkata antara kesalahan yang dikenakan kompaun ialah tidak meletakkan tanda harga, menjual barang tiruan selain alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan. 

“Menerusi operasi itu, kita telah menerima 892 aduan dan sebanyak 36,510 pemeriksaan telah dilaksanakan antaranya di kedai runcit, bazar Ramadan dan pasar raya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan Mahkota Square di sini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Fuziah berkata menerusi Ops Pantau di bazar Ramadan, hanya lapan kes direkodkan antaranya di Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak.

Ops Pantau 2026 dilaksanakan mulai 19 Feb hingga 20 Mac ini sebagai langkah proaktif kerajaan untuk memantau bekalan dan harga barangan sepanjang Ramadan serta menjelang sambutan Aidilfitri.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat tujuh lokasi Bazar Ramadan Rahmah (BRR) MADANI di Pahang, iaitu Mahkota Square di sini, Bandar Bera, Bandar Jerantut, Mempaga (Bentong), Muadzam Shah (Rompin), Bandar Raub dan Bukit Semantan (Temerloh). 

Di semua lokasi BRR ini, terdapat peniaga yang menyediakan pelbagai pilihan makanan pada harga RM5 dan ke bawah sebagai menu tambahan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah berupaya mendapat juadah berbuka puasa yang seimbang dan berpatutan.

Sementara itu, di PULAU PINANG, Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata hasil pemeriksaan melibatkan 3,825 premis termasuk pasar awam, pasar raya dan kedai runcit menerusi Ops Pantau, sebanyak 25 kes dikenakan kompaun serta-merta, manakala 12 kes lagi dibuka kertas siasatan.

Berhubung BRR MADANI, beliau berkata lima lokasi dipilih, iaitu Bazar Ramadan Rahmah Jalan Mahkamah, Bayan Lepas; Bandar Bertam Putra; Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Perda; Bertam Melayu, Air Itam; serta Sungai Acheh.

Jegan berkata selain pilihan Juadah Rahmah berharga RM5 dan ke bawah, bazar berkenaan turut menawarkan insentif e-dompet bernilai RM20 kepada 10,000 pengunjung dan RM100 kepada peniaga melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI), dengan jumlah keseluruhan RM206,600 diedarkan sepanjang Ramadan 2026 di seluruh negeri.

Beliau berkata bersempena dengan Ramadan, KPDN Pulau Pinang turut mengadakan Program Ihsan Food Bank (i-FB) sebagai sebahagian daripada inisiatif pengurusan lebihan makanan di bazar Ramadan terpilih yang dijayakan oleh 50 sukarelawan daripada Gerakan Pengguna Siswa (GPS).

“Setakat semalam, sebanyak 2,114.76 kilogram lebihan makanan berjaya diselamatkan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan menerusi program yang dilaksanakan mulai 24 Feb di bazar Ramadan terlibat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan