ARAU, 7 Mac (Bernama) -- Tahap kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan mengawal dan memantau penggunaan Internet termasuk media sosial oleh anak-anak mereka, khususnya yang di bawah umur di negeri ini, masih rendah.
Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Perlis Norrazlina Nordin berkata justeru, pelaksanaan Kempen Internet Selamat turut melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) selain pelajar dalam usaha meningkatkan kesedaran itu.
"Selain untuk pelajar, kita juga tekankan kempen ini kepada ibu bapa. Ada ibu bapa yang tidak pasti kandungan yang anak mereka tonton dalam Internet.
"Sebab itu kita banyak tekankan tentang kawalan daripada ibu bapa. Mereka boleh tetapkan had penggunaan Internet melalui telefon bimbit sendiri atau Wi-Fi yang dipasang di rumah," katanya kepada pemberita pada Kempen Internet Selamat @ Bazar Ramadan 2026 peringkat negeri di Bazar Ramadan Arau, di sini hari ini.
Norrazlina berkata menerusi pelaksanaan kempen itu juga, banyak informasi tentang kandungan yang sesuai dan betul untuk kanak-kanak mengikut tahap umur masing-masing dikongsi kepada ibu bapa untuk mengawal serta memantau anak-anak mereka.
Sementara itu, katanya MCMC Perlis telah menyelesaikan Kempen Internet Selamat di semua sekolah yang berada di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Perlis pada tahun lepas dengan tumpuan pelaksanaan kempen itu tahun ini ialah mengenai impak kempen itu kepada golongan sasar.
Beliau berkata selain itu, pihaknya juga akan ke sekolah-sekolah di negeri itu dengan kerjasama ikon dilantik dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berdekatan untuk melaksanakan aktiviti bersama-sama pelajar dalam meningkatkan tahap penggunaan Internet yang selamat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial