Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

34 Rumah Rosak Akibat Ribut Di Seberang Perai Utara

08/03/2026 03:29 PM

 

KEPALA BATAS, 8 Mac (Bernama) -- Sebanyak 34 rumah rosak dalam kejadian ribut dan angin kencang yang melanda beberapa kawasan di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) di sini semalam termasuk sebuah rumah di Kampung Tasik yang dihempap pokok sepanjang kira-kira 30 meter.

Kejadian yang berlaku kira-kira 6.20 petang itu melibatkan rumah penduduk di Kampung Tasik, Kubang Menerung, Taman Seri Menerung dan Taman Seri Desa, namun tiada mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pemilik rumah yang dihempap pokok, Norazimah Ibrahim, 43, berkata bahagian bumbung rumahnya rosak selepas dihempap pokok petai yang sebesar pemeluk dewasa dan sepanjang kira-kira 30 meter ketika ribut melanda kawasan itu.

Ibu tunggal itu berkata ketika kejadian, beliau sedang membuat kuih di dalam rumah sebagai persediaan berbuka puasa bersama empat anaknya berusia lapan hingga 19 tahun sebelum tiba-tiba terdengar bunyi kuat seperti guruh yang menghempap rumahnya.

"Kami pada mulanya sangka hanya ranting yang jatuh, tetapi tidak sangka pokok besar itu yang tumbang dan semasa kejadian mak (Faridah Harun,64) nampak pokok itu jatuh perlahan-lahan sebelum menghempap rumah saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima lawatan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, di rumahnya, hari ini.

Norazimah yang merupakan peniaga makanan berkata kejadian itu turut menyebabkan wayar elektrik terputus dan mengeluarkan percikan api, namun beliau bersyukur kerana semua ahli keluarganya yang berada di rumah ketika itu sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Beliau berkata sebahagian pokok telah dipotong oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mengelakkan kerosakan lebih teruk, namun struktur bumbung rumahnya mengalami kerosakan dan kebocoran.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor Mohd Yazi Taib berkata pihaknya mengambil masa lebih 2 jam untuk memotong dan membersihkan pokok petai tersebut dan ia berisiko menyebabkan kerosakan lebih teruk sekiranya kerja pemotongan dilakukan tanpa langkah keselamatan yang rapi.

"Pihak bomba terima maklumat kejadian itu malam tadi namun tidak dapat melaksanakan proses pemotongan pokok tersebut kerana faktor keselamatan dan bermula 11.30 pagi tadi seramai lapan anggota bomba telah memulakan kerja-kerja pemotongan.

"Operasi itu turut berdepan beberapa cabaran termasuk kedudukan pokok yang berhampiran dengan kabel elektrik serta saiz dahan yang besar selain itu laluan yang sempit ke lokasi kejadian turut menyukarkan pergerakan jentera bomba untuk memasuki kawasan tersebut," katanya.

Sementara itu Reezal Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam berkata pihaknya telah menyalurkan bantuan segera kepada semua mangsa ribut yang terlibat dengan kadar RM400 bagi rumah yang mengalami kerosakan teruk manakala RM200 bagi kerosakan ringan.

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM300 kepada setiap keluarga terlibat manakala Pejabat Daerah SPU juga akan membuat penilaian sebelum memberikan bantuan melalui tabung bencana bagi membantu mangsa melakukan kerja pembaikan rumah masing-masing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan