Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JPJ Tidak Kompromi Kenderaan Thailand Masuk Malaysia Tanpa ICP

10/03/2026 11:13 AM

ARAU, 10 Mac (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi dengan mana-mana kenderaan Thailand yang memasuki negara ini tanpa Permit Edaran Antarabangsa (ICP) serta dikesan berada pada jarak lebih dua kilometer dari pintu masuk sempadan negara ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya memberikan peringatan itu memandangkan pada musim perayaan Aidilfitri nanti mungkin banyak kenderaan dari negara jiran akan memasuki Malaysia melalui pintu sempadan negara.

“Mana-mana kenderaan yang tidak mempunyai ICP dan berada melebihi dua kilometer dari jalan sempadan (negara) ini, sekiranya ditahan, kita akan sita...kita nak ingatkan supaya dapatkan ICP ini di stesen kawalan penguat kuasa JPJ di sempadan negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jalinan Ukhuwah Ramadan JPJ Perlis di sini malam tadi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Aedy Fadly berkata kebenaran ICP yang sah untuk tempoh 90 hari itu hanya terpakai untuk kegunaan kenderaan persendirian, maka menjadi kesalahan bagi kenderaan itu diguna pakai untuk aktiviti lain termasuk sebarang urus niaga di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata JPJ tidak akan mengeluarkan ICP itu sekiranya kenderaan warga asing tersebut mempunyai saman tertunggak sehingga saman itu diselesaikan, dan kenderaan yang mempunyai tunggakan saman akan ditahan jika didapati berada di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata JPJ akan menumpukan kepada beberapa elemen lain pada Ops Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang dijangka bermula pada 13 Mac ini selama dua minggu, dengan perincian pelaksanaan operasi itu akan dimaklumkan dalam satu sidang media.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan