Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pelabuhan Perketat Pemeriksaan Kontena Susulan Pergerakan Terjejas Di Selat Hormuz - Loke

10/03/2026 12:49 PM

PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah mitigasi bagi memastikan operasi pelabuhan negara tidak terjejas susulan konflik antara Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran yang menjejaskan pergerakan maritim di Selat Hormuz, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama pihak pengurusan pelabuhan, syarikat perkapalan serta pihak berkuasa industri maritim negara pagi ini bagi merencanakan langkah segera menghadapi kemungkinan gangguan kepada rantaian logistik global.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, krisis sedemikian sering menyebabkan kesesakan pelabuhan di negara kita kerana kontena ke kawasan konflik akan dibiarkan oleh syarikat perkapalan, sekali gus menjejaskan operasi harian import dan eksport, seterusnya kilang-kilang kita,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selat Hormuz, yang terletak di antara Iran dan Oman, merupakan antara laluan perkapalan minyak paling penting di dunia, dengan kira-kira satu perlima daripada penggunaan minyak global melalui laluan sempit itu setiap hari. 

Loke berkata sebagai langkah awal, kerajaan akan mempermudah pemindahan kontena kosong dari kawasan pelabuhan bagi mengelakkan kesesakan, manakala pihak pengurusan pelabuhan akan melaksanakan pemeriksaan lebih menyeluruh.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan kontena yang destinasinya tidak jelas tidak diturunkan di pelabuhan negara.

Katanya Kementerian Pengangkutan turut mengambil maklum cabaran kos bahan api yang dihadapi oleh pelabuhan tempatan dan akan bekerjasama bagi mewujudkan mekanisme untuk menangani isu tersebut ketika berlakunya krisis.

Loke berkata kerajaan juga sedang berusaha membantu kapal-kapal Malaysia yang terkandas di Asia Barat akibat risiko serangan sekiranya mereka meneruskan pelayaran.

“Dalam menghadapi krisis nasional, semua pemegang taruh mesti bekerjasama dan saling membantu untuk melindungi kepentingan negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan