KUALA NERUS, 10 Mac (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Islam Sultan Mahmud telah mencetak sebanyak 5,000 naskhah Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin untuk diagihkan kepada 20 universiti awam di seluruh negara sempena Ramadan.
Naib Canselor UMT Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata Projek Hibah Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin yang dijalankan dengan kerjasama Etiqa Family Takaful Berhad (EFTB) itu dilaksanakan bagi memperluas akses kepada bahan rujukan al-Quran yang sahih dalam kalangan warga akademik dan mahasiswa.
“Selain itu sebanyak 1,600 naskhah mushaf turut dihibahkan kepada Kementerian Dalam Negeri bagi tujuan pengedaran nasional melalui pelaksanaan program ‘Jom Exchange Quran’.
“Inisiatif berkenaan sebagai menyokong kempen ‘Ke Arah Sifar Al-Quran Tanpa Perakuan KDN’ yang bertujuan memastikan penggunaan mushaf mematuhi piawaian percetakan serta ketepatan teks al-Quran selaras dengan peraturan semasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Hibah Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin di universiti berkenaan di sini.
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat dan merasmikan majlis tersebut.
Turut berangkat Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, Tengku Seri Setia Mahkota Raja Tengku Datuk Seri Muhammad Mua’az dan Tengku Puteri Utama Raja Tengku Datuk Seri Nadhirah Zahrah.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mohd Zamri berkata bagi merealisasikan Projek Hibah Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin, EFTB telah menyalurkan dana amal jariah berjumlah RM375,000.
Beliau berkata penganjuran majlis pada hari ini juga bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan UMT yang bukan sahaja dikenali sebagai institusi peneraju penyelidikan kelautan dan sains marin, tetapi juga aktif dalam usaha pemeliharaan khazanah warisan Islam negara melalui penyelidikan serta pemindahan ilmu kepada masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial